Wednesday 18 June 2014

Maaf, Aku Tak Layak!

[kredit]

Sudah lama Muqri perhatikan dia. Dari awal semester, sampailah ke hari ini. Dia berbeza dengan orang yang sering dia dampingi. Sepertinya dia adalah seseorang. Entah, bagi Muqrilah, tidak tahu bagi orang lain bagaimana. Perwatakan yang dibawa menampak aura yang tersimpan. Tetapi, mengapa dia perlu untuk menyembunyikan aura itu? Ataupun sebenarnya dia biasa-biasa sahaja, dan ini hanya sekadar perasaan Muqri semata.

Masih Muqri ingat ketika sahabat seusrahnya, Ameer, memperkenalkan lelaki itu kepada dia. Namanya tidak berapa Muqri ingat tapi wajahnya sentiasa dalam ingatan. Cara percakapannya menunjukkan dia pernah bersama tarbiyah. Gaya dia merespon seperti pernah bergiat dalam dunia dakwah. Itu yang menarik minat Muqri. Oh, sebenarnya Muqri ingat namanya. Teman sebilik Ameer. Ya, namanya Nuqman Iskandar.

Hari ini kelas Muqri berakhir awal ; 3.00 petang, begitu juga Ameer. Jadi Ameer mengajak Muqri untuk makan tengah hari bersama-sama di kafe kegemaran mereka iaitu Kafe Orion. Seperti biasa, Muqri akan mengambil nasi putih, ayam goreng, kuah lemak cili api, sayur campur, sepotong betik dan  air blackcurrant. Peh terangkat. Manakala, Ameer lebih ringkas hanya makan mee kari yang telah disediakan di meja hadapan. Harga murah dan lazat pula tu. Nyum nyum.

Dua bersahabat itu memilih untuk duduk di meja tengah di bahagian hadapan sebelah dengan tiang yang terdapat suis lampu dan kipas. Sambil menikmati makan tengah hari (makan tengah hari jam 3 petang adalah normal bagi seorang pelajar) mereka berborak mengenai beberapa perkara. Antara yang hangat diborakkan mengenai isu coklat cadbury yang terdapat dna babi, isu hudud yang tak sudah-sudah, kes pelajar di rogol 21 orang lelaki di Ketereh dan secara tiba-tiba cerita kedai kopi mereka terhenti apabila melihat seorang pelajar lalu di hadapan mereka.

"Ameer, itu kawan sebilik kau kan? Siapa nama dia?", Muqri memulakan bicara baru.

"Ha'ah. Awat? Nuqman Iskandar bin Sulaiman."

"Dia orang mana eh?"

"Orang mana ha? Entah, aku pun tak sure. Rasanya orang Jerantut Pahang kot. Yes, Jerantut. Aku yakin dia Jerantut,"

"Apalah kau ni, rakan sebilik pun tak tahu asal mana. Kita memanglah sibuk dengan usrah kita, as-Saff, kelas, tapi jangan lupa tanggungjawab kita terhadap rakan sebilik kita. Itu yang pertama kita kena dakwahkan. Jangan kita pom pam pom pam dakwah kat orang lain, tapi ahli bilik kita sendiri pun kita tak kenal." tegas nasihat Muqri tapi penuh dengan kasih sayang.

Tertunduk Ameer, "Maaf, terima kasih ingatkan. Aku akan cuba perbaiki."

"Ha, berbalik kepada Nuqman tu. Dia dulu sekolah mana eh? Aku ingat muka dia sebab aku pernah jumpa dia kat bilik dulu. Ingat tak waktu yang kita makan kebab mumtaz nangis-nangis tu? Haha. Ok gurauan."

"Oh, yang itu. eh, dahlah jangan ingatkan aku kisah lama. Itu sejarah silam. Dah shh shhh. Kalau tak salah dia Maktab Tentera Diraja. Tapi sebelum tu dia sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang di Muadzam Shah. Bagus jugalah dia tu. Selalu baca al-Quran dalam bilik, kadang-kadang tu dia yang kejut aku subuh,"

Mengangguk-angguk kepala Muqri, "Oh, ya? Sudah ku agak," tidak semena-mena Muqri tergelak.

"Kau agak apa? Kau jangan."

"Jangan apa?"

"Alah, buat-buat tanya pula, macam aku tak tahu perangai kau. Pantang jumpa kan."

"Hahaha, ada-ada sahaja kau ni, dah diam. Pandai-pandailah aku uruskan nanti. Doakan ya, ini untuk kebaikan kita bersama."

"In sha Allah, aku pun rasa dia okey. Kau try lah yang terbaik. Si Faris kau boleh uruskan inikan pula Nuqman tu."

"In sha Allah, amin. Moga Allah permudahkan. Ha, boleh kau sampaikan kepada dia yang aku nak jumpa dia lepas maghrib di as-sufi? Eh, eh, jomlah tukar baju, dah nak pukul 4 ni. Nak solat asar pula, lepas asar cakap nak main pentaque dengan M."

"Amboih, lajunya pergerakan. bagus-bagus. Boleh je. Erm, okey, jom."

Mereka berdua bangun dari meja makan menuju ke singki untuk membasuh tangan lalu bergerak ke kolej kediaman masing-masing. Ameer di Canopus dan Muqri di Capella. Keduanya terletak diantara Kafe Orion.

......................................................................

Ameer masuk ke dalam biliknya yang terletak di tingkat 1 Canopus, kebetulan Nuqman juga masuk ke bilik selepas selesai mandi. Nuqman membuka almari besinya untuk mengambil baju untuk dipakai, katilnya terletak di sebelah tingkap dan berhadapan dengan katilnya terletak katil Ameer. Di atas katilnya terdapat beberapa buah buku, beg dan tali leher yang disangkut di penjuru katil. Kebiasaannya selepas habis kelas dia akan meletakkan barang-barang di atas meja dan uruskan diri sebelum mengemas meja dan katil.

Ameer memerhatikan Nuqman. Sepertinya dia mahu memulakan bicara dengan Nuqman. Mungkin ingin memudahkan langkah Muqri.

"Nuqman, kau kenal tak Muqri kawan aku tu?" Ameer memandang tepat wajah Nuqman.

"Eh, Muqri. Kenal, yang pernah datang bilik kita hari tu kan? Kalau tak salah aku, dia tu JPP kerohanian kan? Budak as-Saff?" Balas Nuqman sambil duduk di atas kerusi sambil mengemas meja yang dipenuhi buku.

"Ha'ah, dia lah tu. Erm, dia nak jumpa kau lepas maghrib ni di as-Sufi. Ke kau ada kelas atau discussion?"

"Aku tidak ada apa-apa pun malam ni. Haha. Dia nak jumpa aku? Macam kelakar. Aku ni pernah cakap dengan dia sekali tu je, ada urusan apa?" tersenyum kecil Nuqman selepas dimaklumkan Muqri ingin bertemunya. Pelik mungkin.

"Adalah urusannya. Kau jumpa dia ya, apa-apa masalah beritahu aku. Okeylah, aku nak pergi mandi sekejap. Waktu asar pun dah nak masuk." Ringkas balasan Ameer, menambahkan persoalan dalam benak fikiran Nuqman.

'Kenapa dia nak jumpa aku? Ada apa urusan ya? Dia kenal aku ku?' pelbagai persoalan menjengah fikiran Nuqman. Kepelikan yang sukar untuk dia hadam.

.....................................................................

Malam itu, seperti yang disampaikan oleh Ameer, Muqri ingin bertemunya di as-Sufi. Dia segak mengenakan jubah berwarna kelabu keluaran Haramain dan berkopiah putih. Dia menunggu Muqri selesai menunaikan solat sunat rawattib. Dia duduk di penjuru kanan surau bersebelahan dengan rak al-Quran yang diperbuat daripada kayu. Dia membuka telefon pintar yang terdapat di dalam poket jubahnya dan membuka aplikasi Whatsapp dan menghantar pesanan kepada Ameer.

'Aku sedang menunggu Muqri di surau'

Ameer membalas, 'Ok' disertakan dengan emotikon ibu jari tanda suka.

Muqri berjalan menuju Nuqman sambil tersenyum. Nuqman membalas senyuman Muqri dengan senyuman juga tapi agak kelat. Bukan tidak sudi membalas senyuman, tetapi fikirannya masih memikirkan apa perkara sebenar yang ingin dikatakan oleh Muqri.

"Boleh aku duduk sini?" Muqri memulakan bicara.

"Erm, surau ni milik as-Saff, jadi kau berhak duduk di mana kau suka." ringkas jawapan tapi pedas.

"Hahaha, siapa cakap milik as-Saff, milik kita semualah. Sihat?"

"Sihat alhamdulillah, kalau sakit atau mati tak berjumpalah kita hari ini. Ada apa ya Muqri? Tadi Ameer ada beritahu aku kau nak jumpa aku. Ada urusan apa? Pelik bunyinya orang hebat nak jumpa orang biasa-biasa macam aku ni."

"Aduh, hebat manalah aku ni ya? Kalau tidak ada jawatan ni, entah aku lagi teruk daripada kau. Saja nak jumpa kau. Nak kenal-kenal. Kau kan teman sebilik Ameer. Ameer tu usrah mate aku, jadi kawan dia, kawan aku juga. Biarlah aku kenalkan diri aku dulu. Nama penuh aku Muqri Farhan bin Othman. Asal Dungun, Terengganu. Sekolah lama Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu. Okey, kau pula." tanpa diminta dan ditanya, tidak semena-mena Muqri meperkenalkan dirinya.

"Oh, orang Terengganu. Tapi kau cakap tak nampak gaya Terengganu sangatlah. Oh, nama aku Nuqman Iskandar bin Sulaiman. Asal Jerantut Pahang. Dulu sekolah Maktab Tentera Diraja,"

"Sebelum MTD?"

"Erm, perlu tahu ke?"

"Alah, kenapa nak rahsiakan?"

"Hahaha, Sekolah Menengah Kebanggsaan Agama Pahang ataupun SeMeKaP. Sekolah tu di Muadzam Shah Pahang."

"Oh, kau sekolah agama dulu? Pandailah ni cakap bahasa arab?"

"Erm, bolehlah sikit-sikit."

Azan isyak yang dilaungkan oleh Naim kedengaran menandakan sudah masuk waktu solat isyak bagi kawasan Banting dan sama waktu dengannya.

"Sudah azan. Aku nak pergi ambil wudhuk dulu. Kau jadi imam boleh?" Muqri mula memancing Nuqman.

"Imam? Er, orang lain?"

"Sekali?"

"Huh, In sha Allah," Nuqman akur dengan permintaan sahabat barunya itu. Lagipun sudah lama dia tidak menjadi imam, masih dia ingat ketika di maktab, dia antara ahli surau yang aktif dan merupakan ahli usrah masjid berhampiran dengan rumah.

Tapi keanehan masih menyelubungi dirinya meskipun dia selesa berborak dengan Muqri, adakah pertemuaan itu hanya sekadar taaruf di antara mereka? Diminta menjadi imam? Pelik, aneh, hairan. Itu sahaja?

............................................................

Hujung minggu itu, ramai pelajar kolej yang mengambil kesempatan untuk pulang ke rumah. Begitu juga dengan dua teman sebilik Nuqman dan Ameer. Di bilik itu hanya tinggal mereka berdua. Nuqman yang tinggal jauh di negeri Pahang itu, sememangnya tidak balik melainkan cuti panjang, manakala Ameer sengaja tidak mahu pulang, dia lebih suka meluangkan masanya bersama ikhwahnya di kolej daripada pulang ke rumah walaupun dia tinggal di bandar Klang yang terletak tidak jauh daripada kolej.

Jam di meja Ameer menunjukkan 9.15 malam. Malam itu Ameer memilih untuk mengulang kaji di biliknya sendiri. Dia memilih untuk menyiapkan tutorial matematik yang sangat banyak. Nuqman juga berada di dalam bilik. Suasana bilik sunyi, kendengaran perlahan suara Nuqman mengalunkan bacaan surah al-'Araf. Sudah menjadi kebiasaan baginya sebelum membuka buku, dia akan membaca 2 muka surat daripada mashaf al-Quran.

Kesunyian bilik mereka dipecahkan dengan bunyi telefon bimbit Ameer. Namun bunyi telefon itu tidak mengganggu tilawah al-Quran Nuqman.

"Assalamualaikum," kelihatan mesra salam yang di beri Ameer.

"Aku ada dalam bilik ni,"

"Nuqman? Ada ni depan aku. Dia tak balik pun. Kenapa?"

Tilawah Nuqman berhenti apabila Ameer menyebut namanya. Dengan suara perlahan, dia bertanya kepada Ameer, 'Siapa?'

"Oh, nak jumpa dia ke? Okey nanti aku beritahu dia. Okey, jumpa subuh esok. Kejut aku kalau nampak bilik aku gelap lagi. Okey, assalamualaikum,"

Ameer memandang tepat kepada Nuqman. Nuqman seperti ternanti-nanti.

"Ni ha, Muqri, dia nak jumpa kau kat bilik dia. Boleh?"

"Ha, Muqri? Serius kau?" Keanehan dalam fikiran Nuqman semakin bertambah.

"Iyalah, buat apa aku nak tipu. Dah pergilah. Ha, nanti pesan kepada dia, aku nak Herbalife Mango. Hehe."

"Okey. Nanti aku sampaikan."

...................................................................

Kakinya menapak dengan seribu persoalan bermain di dalam fikiran. Selepas dia bertaaruf dengan Muqri di surau as-Sufi tempoh hari, kerap juga dia ber'waksep' dengan Muqri. Banyak perkaran yang dibincangkan dan segala isi perbincangan mereka mengingatkan Nuqman zaman sekolahnya. Ya, baru-baru ini, selepas dia berkenalan dengan Muqri, dia banyak bermuhasabah diri. Dahulu, dia adalah antara insan yang ketagihan dengan usrah, dakwah, tarbiyah. Tapi selepas masuk ke kolej, dia memilih untuk tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara sedemikian.

Ketika Minggu Pengurusan Pelajar, alumni as-Saff mengeluarkan borang penyertaan ahli bagi sesi yang baru. Sebenarnya dia teringin juga untuk menjadi ahli, tapi entahlah, dia malas. Kononnya di kolej, dia mahu fokus pada pelajaran semata tanpa memikirkan perkara-perkara dakwah dan seumpamanya. Ada juga senior yang meminta dia mengisi borang, tapi dia berkeras untuk tidak mengisi. Kadang-kala terdetik juga perasaan cemburu apabila melihat ahli as-saff berusrah, mengadakan aktiviti tarbiyah di surau, tapi biarlah.

Sebenarya dia mula seronok berkenalan dengan Muqri. Banyak juga isu yang dibincangkan di waksep. Mereka bercerita mengenai Imam Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, di samping berkongsi ilmu yang diperolehi daripada pembacaan masing-masing. Antara buku yang sempat dikongsi Nuqman adalah buku Fathi Yakan, 'Mengapa Aku Menganut Agama Islam' manakala Muqri berkongsi buku yang ditulis juga oleh Fathi Yakan, 'Golongan yang Tercicir Dari Jalan Dakwah'. Entah, Nuqman seperti terpukul dengan beberapa isi buku yang dikongsikan oleh Muqri. Mugkin terasa dialah golongan yang tercicir itu.

Dia sudah sampai dihadapan bilik Muqri. Aras itu kelihatan sunyi dan kedengaran lagu yang dimainkan radio daripada bilik sebelah, tetapi perlahan sahaja. Dia mengetuk pintu sambil memberi salam. Dengan sekali salam sahaja, pintu bilik itu terus dibuka. Jelas riak teruja yang terpancar daripada wajah Muqri apabila melihat Nuqman dihadapannya. Malam ini adalah penentu. Dia harus meluahkannya hari ini. Ya, sudah tidak boleh ditangguh.

"Masha Allah, sheikh. Sampai pun. Masuk-masuk," mesra sapaan Muqri dihiasi dengan sekuntum senyuman.

"Maaflah, bilik agak bersepah. Duduklah. Kawan sebilik aku semua balik. Tinggal aku seorang sahaja. Nak minum herbalife mango? Biasanya kalau Ameer datang bilik aku, memang dia akan minta aku buatkan air tu."

"Ha, sebut herbalife, Ameer pesan dia nak sebungkus perasa mangga. Haha," dia menyampaikan pesanan Ameer sambil tersenyum.

"Aku dah agak. Kejap ya." laju tangan Muqri mengoncang bekas minuman. Dalam kiraan sepuluh goncangan, dia membuka penutup bekas dan menghulurkan bekas tersebut kepada Nuqman.

"Minumlah, jangan segan-segan."

"Erm, Muqri, kenapa ya kau suruh aku datang bilik kau ni?" Nuqman malas nak bicara panjang diteruskan kepada perkara pokok tanda selindung.

"Kenapa, kau tak sudi ke datang bilik aku? Esok cuti, sengaja nak ajak kau lepak-lepak, borak-borak.

"Tak, bukan tak sudi, tapi aku pelik. Nak cakap borak-borak, kita dah selalu berwaksep."

"Huh, baiklah Nuqman. Aku ajak kau datang bilik aku ni ada hajat. Memang nak borak-borak dengan kau. Sebenarnya kan, aku dah perhatikan kau lama dah. Sejak awal semester bermula. Aku rasakan sesuatu yang lain dalam diri kau. Walaupun kau berkawan dengan budak-budak yang, kau faham macam mana. Tapi kau lain dengan mereka. Kau jangan tipu aku. Aku tahu."

"Apa maksud kau ni? Aku selesa berkawan dengan mereka," tak, sebenarnya Nuqman tidak selesa. Di kolej, kebanyakan rakan yang Nuqman dampingi di kalangan pelajar bermasalah, yang terlibat dengan rokok, ponteng dan pelbagai lagi masalah disiplin. Bukannya Nuqman tidak ada pilihan lain, tetapi dia sengaja berkawan dengan mereka, hakikatnya Nuqman teringin bersama dengan sahabat-sahabat yang sefikrah dengannya.

"Terpulang, mulut boleh berkata apa sahaja, hakikatnya hati kau lebih mengetahui. Aku dah lama nak cakap pada kau, tapi aku tunggu masa yang sesuai. Selepas aku berkenalan dengan kau tempoh hari, perasaaan aku untuk memberitahu dan mengungkapkan pada kau semaik kuat. Sungguh!" serius wajah Muqri.

"Err, apa kau nak cakap ni. Beritahu sahaja sekarang." penasaran, terlalu ingin tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Muqri.

"Walaupun muqaddimah aku agak kelakar dan agak poyo, sebenarnya aku nak tanya kau, kau nak join usrah?" akhirnya perkataan itu keluar daripada Muqri.

Sunyi. Sepi. Hanya bunyi kipas kedengaran.

"Oh, ini rupanya. Nak ajak aku join usrah. Patutlah,"

"Jadi?" Muqri terlalu ingin tahu jawapan bagi persoalannya itu.

"Maaf, kau jangan nak gunakan aku dan aku tak layak,"

Kembali sunyi.

"Apa maksud kau? Mari sertai kami menyampaikan dakwah di kolej, kita kongsi ilmu, kita bawa syahadatul haq bersama-sama," Muqri inginkan penjelasan.

Nuqman bangkit daripada tempat duduk.

"Maaf, aku balik dulu. Mungkin kau boleh cari orang lain. Ramai lagi yang lebih baik daripada aku. Aku tak layak!" dengan pantas Nuqman membuka pintu bilik dan keluar dari bilik itu. Hatinya tidak lega dengan jawapan yang diberikan. Sepertinya dia merasa serba salah menolak ajakan itu. Ketika berjalan pulang ke biliknya, timbul penyesalan dalam dirinya. Dengan tidak semena-mena kedengaran lagu Beribu Sesalan nyanyian 3 Suara dari bilik yang berhampiran. Eh.

"Eh, perlu ke kau pasang lagu tu sekarang juga hah?" tiba-tiba Nuqman emosi sedangkan lagu itu tidak ada kaitan antara hidup dan mati. Kelihatan beberapa kepala keluar melalui tingkap, terkejut dengan suara Nuqman yang kuat barangkali.

"Time macam nilah kau nak main lagu beribu sesalan bagai." dia berbicara perlahan.

Kelakar, dia merasakan beribu sesalan itu ditujukan kepada dirinya. Ya, beribu sesalan kerana menolak ajakan Muqri menyertai usrah. Beribu sesalan pergi begitu sahaja tanpa membenarkan Muqri menjelaskan sebab-sebabnya. Baru dia tahu apa itu erti beribu sesalan.!

Sampai sahaja di bilik, Nuqman diam tidak berbicara. Dia membuat keputusan untuk terus tidur. Malam itu, tidak seperti malam-malam sebelum ini. Kebiasaannya dia akan berwudhuk dan membaca surah al-Mulk sebelum tidur, tapi selepas masuk ke dalam bilik, dia mengkabungkan diri dengan selimut, dan tidur! Ameer hanya memerhati gelagat Nuqman. Baru sahaja dia mahu meminta apa yang dipesan tetapi melihat kondisi Nuqman sedemikian, dia memilih untuk menangguh dahulu keinginan kepada herbalife.

.....................................................................

Nuqman sendirian, sekelilingnya gelap, hitam, pekat. Dia cuba mencari jalan keluar. Tidak dia ketemu. Tiba-tiba dia melihat ada satu cahaya di hujung jalan. Dia berlari menuju cahaya itu. Semakin dia menghampiri cahaya itu, semakin cahaya itu melarikan daripadanya. Dia terus berlari, semakin pantas, mungkin sepantas Usain Bolt, tiba-tiba cahaya itu berhenti. Dia melihat ada bulatan manusia yang bercahaya terang berwarna putih. Manusia-manusia yang dia jumpai sangat dia kenali. Mereka tampan mengenakan busana serba putih.

"Assalamualaikum," Nuqman cuba menyapa mereka.

"Wa'alaikumussalam," serentak salam itu dijawab oleh bulatan itu.

"Muqri, Ameer, aku dah agak tentu korang, boleh aku sertai korang?"

Mereka memandang Nuqman dengan wajah yang aneh.

"Maafkan kami, kau nak sertai kami? Layak ke kau?" Ameer bersuara.

Glurp. Terdiam.

"Apa yang kau ada untuk kau bersama kami?" sahabat yang lain pula memberikan komentar. Nuqman tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia tahu itu ahli usrah Ameer.

"Maaf Nuqman, kami tak mahu kau bersama kami. Kau tak layak, kau tak cukup baik. Kau baikilah diri kau, kami sudah jumpa ramai orang yang lebih layak daripada kau. Kau boleh berambus dari sini. Jangan ganggu kami." keras dan tegas suara Muqri. Penuh kemarahan.

"Apa salah aku? Aku ingin sertai korang. Jangan tinggal aku dalam kegelapan, aku nak bersama korang. Tolong, aku merayu,"

Bulatan itu tidak menghiraukan rayuan Nuqman. Cahaya dan bulatan mereka semakin menjauhi Nuqman. Nuqman kini semakin jauh daripada cahaya, dia cuba mengejar cahaya itu, tetapi dia tidak berdaya. Dia terkontang-kanting sendirian.

"Jangan tinggalkan aku.!" dia berteriak sambil menangis. Tidak ada sesiapa menghiraukan jeritannya itu. Hambar.

"Jangan tinggalkan aku!!!" Nuqman menjerit, tiba-tiba dia tersedar.
"Astaghfirullahalazim, mimpi." Badannya basah dengan peluh. Dilihat jam loceng di atas meja.
"Oh, baru pukul 4.30 pagi."
Nuqman bingkas bangun mengambil tuala dan bergegas menuju ke bilik mandi untuk mandi.
Selesai mandi, dia berwudhuk. Alang-alang sudah bangun, dia memilih untuk menunaikan solat sunat tahajjud dan taubat. Di sujud terakhir, entah mengapa, dia berat kepala untuk mengangkat kepala, sujudnya dihiasi dengan tangisan taubat. Ikhlas. Mungkin kesal dengan apa yang dia lakukan selama ini, dia sedar akan kewajipan menegakkan syahadatul haq, berdakwah, tapi dia acuh-tidak acuh. Dia tidak mahu terlibat dengan kegiatan dakwah, tidak mahu terlibat dengan organisasi dakwah. Dia rasa dirinya cukup berdosa. Pelbagai nikmat yang Allah berikan kepadanya, tetapi itu yang dia lakukan untuk memanifestasikan balas cinta dia kepada Allah. Dia juga menyesal akibat menilak pelawaan Muqri.
'Ya Allah, ampuni dosaku,'

................................................................

Nuqman melipat sejadah dan meletakkan sejadah itu di atas katinya. Dia bangun dan pergi ke penjuru milik Ameer dan mengejut Ameer sebelum azan subuh berkumandang. Dengan sekali kejut sahaja sudah menyedarkan Ameer. Waktu subuh akan masuk dalam lebih kurang 8 minit lagi. Nuqman mengambil telefon pintarnya dan membuka aplikasi waksep. Terdapat beberapa perbualan, daripada kumpulan rakan sekelasnya, kumpulan rakan sekolah, dan ada juga daripada Muqri. Mesej itu yang pertama dibukanya.

"Assalamualaikum, Nuqman. Maaf. Aku tidak dapat menerima penolakan kau tanpa alasan yang kukuh. Pertamanya, apabila kau kata aku nak gunakan kau. Ya, aku mengaku, memang aku nak gunakan kau. Aku nak gunakan tenaga kau untuk Islam, aku nak gunakan tenaga yang kau ada untuk berdakwah, aku nak gunakan tenaga yang Allah pinjamkan kepada kau tu untuk bawa manusia di jalan Allah. Kau tak layak? Habis kau fikir aku layak? Apa penilaian 'LAYAK' bagi kau? Apa indikatornya? Kau fikir, kita ni layak ke hidup kat muka bumi ni? Kelayakkan itu subjektif. Manusia tidak boleh menilai, hanya Dia yang tahu. Atau kau ada belajar mana-mana yang mengupas secara nyata tahap kelayakan manusia untuk berdakwah, untuk berusrah? Kalau ada, bolehlah kongsikan kepada aku. Nak tahu satu perkara, pertama kali aku jumpa kau aku dapat rasa aura yang kau miliki. Nampak menipu bukan? Tapi itu perasaan aku dan itulah kenyataan. Kononnya ak berdakwah sendiri? Hakikatnya, tanpa medium dan organisasi, kita tidak kuat. Apa kau lupa firman Allah dalam surah as-Saff ayat 4?

'Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang berjuang di jalan Allah dalam satu barisan, mereka diumpamakan bangunan yang kukuh..'

Boleh kau buat barisan kalau kau sendirian? Maaf, aku tak nak paksa kau, pilihan di tangan kau. Semoga nanti kita ada hujah pada Allah di akhirat nanti apa yang sudah kita lakukan di dunia untuk menegakkan agamaNya. Maaf mengganggu hidup kau. Dan kau terlupa herbalife Ameer. Eh. Assalamualaikum."

Terdiam, kelu, bisu tanpa suara. Tangisan di sujudnya kembali. Azan subuh berkumandang, Ameer membuka pintu dan masuk ke bilik selepas selesai mandi. Dengan pantas, Nuqman menyeka air mata yang bersisa di mata. Tidak mahu dilihat Ameer, anak jantan. Ceh.

..............................................................................

'Assalamualaikum warahmatullah, assalamualaikum warahmatullah...'

Salam diberi oleh imam.

Selesai membaca doa, mereka bersama-sama membacakan al-Mathurat dan selepas itu mereka mendengar perkongsian hadis daripada Muqri.

Nuqman duduk jauh di belakang, bersandarkan tiang.

Hadis berkaitan dengan ukhuwah dan persahabatan.

Seusai itu, ahli jemaah beredar daripada surau begitu juga Muqri. Apabila Muqri berjalan menuju ke pintu, ada yang mengekorinya. Apabila dia sampai di muka pintu, bahunya disentuh.

"Muqri,"

"Nuqman,"kelat senyuman, masih teringat kisah semalam tetapi bukan dendam.

"Aku..aku..nak join usrah. Aku nak berdakwah bersama korang. Boleh?"

Muqri terkejut, dan tersenyum.

"SubhanAllah, boleh, usrah kami sentiasa terbuka untuk kau,"lalu dia mendakap Nuqman. Muqri Menangis keharuan.

"Terima kasih Muqri,"

"Sama-sama,"

..............................................................................

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, nama diberi Nuqman Iskandar bin Sulaiman. Asal Jerantut Pahang. Sekolah lama, Sekolah Memenengah Kebanggsaan Agama Pahang dan Maktab Tentera Diraja. Terima kasih kerana sudi terima saya dalam usrah ini. Jika ada kekurangan, saya minta maaf banyak-banyak dan mohon tunjuk ajar. Tegur saya jika saya salah, perbaiki saya jika saya khilaf. Semoga kita sama-sama tsabat dalam perjuangan. Moga Allah redha. Wallahu'alam."

Semua ahli bulatan itu tersenyum melihat kehadiran Nuqman di situ.

"Apa yang kau ada untuk masuk dalam usrah ni?" tiba-tiba ada yang bersuara, semua terdiam dan menumpukan pandangan kepada lelaki itu. Dialah naqib usrah, Abang Saiful.

"Hahaha, abang gurau. Sebab tidak ada apa-apalah kita berusrah kan?" kalam Abang Saufil memecah kesunyian dan diikuti dengan gelak tawa bulatan itu.

Muqri memandang Nuqman dan mengenyitkan mata sambil menegeluarkan ibu jari tanda suka.

'Terima kasih Muqri.' perlahan suara Nuqman sambil tersenyum.

[kredit]


p/s : Alhamdulillah, siap sudah cerpen kedua. Pelbagai ujian yang dihadapi untuk menyiapkan. Mohon doa agar saya terus tsabat dalam penulisan dakwah ini. Moga Allah redha.

Friday 6 June 2014

As-Sufi di Hati..

[kredit]

[Mohon dibaca dengan nada yang bersesuaian, bayangkan anda lelaki yang brutal tapi ada sifat kelakar. Selamat menghayati watak!]

Eh, kamera ni dah on ke? Oh, dah? Maaf-maaf.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Abang eksaited ni first time abang berada secara langsung. Tak sangka pula hari ni abang di jemput untuk menceritakan biografi dan kisah hidup abang kepada engkorang. Terima kasihlah kepada pihak penaja yang sudi menjemput abang bagi menghiasi program mereka ni. Abang tak tahulah apa yang istimewa pada abang ni sampai mereka panggil abang. Abang rasa abang ni biasa-biasa sahaja, nak cakap tampan tu adalah sikit, kalau macam kpop tu abang minta maaflah, abang ni darah jawa. Eh?

Ha, kembali kepada kisah hidup abang. Abang sebenarnya tak pasti abang nak mulakan dari mana, tapi abang akan cuba cerita yang mana abang ingat supaya kisah abang ni dapatlah engkorang semua mengambil pengajaran dan iktibar sekaligus dapat mengubah kehidupan seharian engkorang. Amboih. Abang akan mulakan dengan cerita sejarah, kemudian abang cerita mengenai adik-beradik abang, seterusnya sahabat-sahabat baik abang, tak dilupakan juga segala pengalaman abang, abang akan cuba selitkan yang mana sempat. Almaklumlah, ni program orang. Kalau abang cerita panjang-panjang sampai 3 kali Ramadhan pun tak habis. Ahahaha.

Sebenarnya, abang tak ingat sangat umur abang, kalau tak salah lebih 5 tahun jugalah. Muda kau cakap? Memang abang ni antara yang termuda di kalangan adik beradik abang tapi kalau ikutkan umur 5 tahun bagi spesies abang dah cukup dewasalah juga. Bolehlah kalau nak panggil lejen tu. Tapi bila abang lahir, abang rasa abang tidak ada kehidupan. Hambar je, kosong. Ada adik beradik, tapi masing-masing duduk jauh. Kawan dan sahabat pun tidak ada lagi. Tapi bila tiba pertengahan tahun 2010, adalah sekumpulan pelajar dari negeri luar datang nak menggembirakan kehidupan abang. Abang ingat seorang je, nama dia apa tu, ha, Faisal Razali. Dialah kepala yang nak menghidupkan kehidupan abang yang hambar sesangat tu. Dibawah kelolaan Ustazah Maznah. Abang ingat ustazah tu, sampai ke hari ni beliau masih ada di sini.

Maka bermulalah kehidupan abang yang gembira di bumi Selangor yang tercinta ini. Ewah. Mereka mula memperkenalkan abang kepada kawan-kawan abang yang baru. Kalau tak salah geng-geng yang jadi BFF abang tahun tu namanya ISIMAS. Ala-ala ISIUKM kata kau! Semenjak itu, abang suka dengan kehidupan baharu abang. Pandai budak-budak ni menggembirakan abang. Rasa terisi apabila setiap saat dan ketika abang akan bertemu mereka. Abang suka dengan pergerakan dan perjalanan mereka yang ikhlas.

Maka tahun berganti tahun, ISIMAS dan abang hanya sempat selama 2 tahun. Jodoh kami tak lama. Tapi orang kata, patah tumbuh hilang berganti. Budak-budak baru tahun 2012 ni pandai, sewenang-wenangnya gantikan ISIMAS dengan Persatuan Sahabat as-Sufi atau lebih dikenali sebagai as-Saff. Mula-mula abang tak suka, mati-mati abang merajuk, abang cakap abang nak ISIMAS tak nak as-Saff. Tapi dengan kesungguhan mereka memujuk abang, okfainlah, abang setuju dengan sahabat baru tu. By the way, namanya pun sedap. Ala-ala fan club gituh! Terasa popular abang seketika. Alhamdulillah, tahun ni abang masih bersama dengan as-Saff. Abang tak nak asyik-asyik diganti sahabat. Engkorang ingat cinta abang cinta pakai buang?

Ini sahabat yang lepas. Tahun 2013/2014. Haish, abang sukalah mereka ni. Comel-comel dan tampan-tampan belaka. Berkat kesungguhan abang-abang mereka lah ni, mereka jadi bagus. Awal-awal perkenalan dah buat abang jatuh cinta. Orang yang pertama buat abang jatuh hati adalah Jibriel. Gila kau tak kenal Jibriel? Eh, engkorang jangan ingat ini Malaikat Jibriel yang sampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad tu. Bukan. Memang nama kawan abang tu Jibriel. Bukan engko seorang yang mengulang nama dia selepas pertama kali dengar nama tu, hampir semua orang. First time abang dengar pun, senak jugalah mulut abang nak tutup gara-gara luas sangat melopong. Hahahaha.

Oleh itu, kisah abang dan mereka bermula. Mereka mengadakan satu kabinet, ewah supaya aktiviti menggembirakan abang lebih terancang dan tersusun. Yalah, bak kata Saidina Ali, "Kebatilan yang tersusun rapi mampu menjatuhkan kebaikan yang tidak tersusun". Jadi, apa yang mereka lakukan ni perkara baik, kalau tak tersusun rapu, memang lunyailah dikalahkan oleh kejahilan yang semakin berleluasa. Sahabat-sahabat baik abang ni ada ketua. Tampan orangnya, namanya Syahir. Dia ni hafal quran. Itu yang abang suka. Dia ada penolong, ha, Jibriel yang abang cerita di ataslah orang ya. Tak dilupakan juga, abang ada kawan perempuan juga. Oit, abang jaga ikhtilat. Tapi ni kawan biasa, bukan teman tapi mesra ok. Ketua budak-budak perempuan ni Ummi Zulaikha. Manis, bertudung litup labuh orangnya. Merekalah penggerak utama di samping bersama-sama sahabat-sahabat yang lain. Kalau abang senaraikan semua nama, mahu 3 muka surat.

Abang ni, benar-benar menyaksikan sesuatu yang menakjubkan berlaku di sini. Abang cakap sungguh. Ada budak perempuan tu, awal-awal abang jumpa dia, pakai tudung ala kadar je, tak syarak sangat. Tapi akhir-akhir perkenalan abang nampak dia berpurdah. Kau hado? Itu yang perempuan, yang lelaki pun ada juga. Kalau abang tak cerita yang lelaki, nanti kau kata abang ni mata keranjang kan? Abang usha belaka sebenarnya. Yang baik-baik ni memang abang duduk perhati je. Supaya dapatlah sama-sama kita ambil iktibar, yedok? Ada budak-budak lelaki ni, awal-awal sombong, tak ambil borang mohon jadi sahabat abanag, tapi alih-alih jadi BFF abang. Semakin hari semakin baik budak-budak tu, rajin menjenguk abang. Bukan sekadar 5 waktu berjumpa abang, bahkan bila ada masa lapang, mesti nak lepaskan rindu dendam kepada abang.

Ada satu hari tu kan, geng-geng as-Saff ni anjurkan usrah (atau dikenali sebagai hexagon gembira) di kalangan sahabat-sahabat abang yang lain. Apa yang mengujakan abang, bukan sahabat-sahabat abang sahaja yang sertai, yang bukan sahabat pun sertai kata kau! Serta merta buat permohonan nak jadi sahabat abang. Tulah, dulu kau sombong dengan aku. Tidak mengapa, abang ni tak berdendam, abang berkwan dengan semua orang. Eh, engkorang ok kan abang panggil hexagon gembira? Yalah, abang ada dengar cerita ada yang tak suka istilah-istilah osem macam tu, katanya melahirkan budak-budak usrah yang lembik. Abang okey je apa bahasanya. Sebab abang tengok sahabat-sahabat abang guna hexagon gembira, octagon ceria dan pelbagai lagi istilah osem macam tu hasilnya qawiy je belaka. Istilah tak penting, yang penting taujihat. Itu pendapat abanglah. Kau jangan marah abang pula kalau pendapat kau tak sama.

Pernah sekali tu, budak-budak ni buat hexagon gembira tengah-tengah dataran sebelah abang. Nama dataran tu, Dataran Kosmik. Mereka buat hexagon gembira tu malam-malam bertemankan api lilin, berbumbungkan langit gelap hitam pekat. Peh, lejen abang tengok! Bersungguh-sungguh naqib, naqibah ni bagi pengisian. Sejuk perut mak mereka tengok anak mereka ni cintakan majlis ilmu. Semua saling bertukar-tukar idea dan pandangan. Macam-macam isu yang mereka bawa. Malam tu, hexagon gembira mereka diakhiri dengan bacaan doa wehdah oleh sahabat-sahabat abang yang lelaki. Kuat sangat laungan mereka. Hampir menitis air mata abang tengok apa yang mereka buat. Tapi apa yang membuatkan abang lebih hiba apabila dapat tahu itu hexagon gembira mereka yang terakhir. Awal-awal abang tahan, last-last meraung abang, sebab terlalu sedih. Abang ni nampak je brutal, tapi dalam hati ada taman.

Ha, sebut hexagon gembira terakhir. Abang terus teringat ada seorang mamat ni, abang tak ingat nama dia yang abang tahu nama instagram, facebook dan twitter dia Dai'e Muda. Kau kenal siapa dia? Kalau tahu nama penuh dia, engkorang boleh PM abang ya. *batuk kecil*. Budak tu ada anjurkan hexagon gembira dia sendiri. Ahli-ahlinya tampan-tampan dan soleh belaka. Sesuai benar nak dibuat menantu. Ada hari ahad tu, hexagon gembira mereka yang terakhir. Abang perhati mereka dari jauh je, akhir-akhir liqo, abang nampak budak-budak lelaki yang macho tu belaka menangis. Ikhlas sungguh tangisan mereka. Mungkin mereka sudah jatuh cinta sesama sendiri sebab itu berat hati nak berpisah dengan sahabat-sahabat seperjuangan. Eh, kau jangan geli pula abang sebut jatuh cinta. Jatuh cinta sesama lelaki ni bukan gay, astaghfirullahal 'azim, nau'zubillahi min zalik. Ini jatuh cinta ukhuwah fillah kata kau! Mereka bertemu berpisah kerana Allah.

Penat jugalah abang bercerita ni, engkorang tadek pula nak jamu sirap limau yek? Dahaga jugalah.

Semua nampak gembira kehidupan abang kan? Tapi sebenarnya abang pun ada perasaan marah juga. Pernah ada satu ketika, minggu ulang kaji. Budak-budak ni ada yang jumpa abang nak buat study group. Oh, abang benarkan, baguslah tu. Biar ramai sikit yang mengunjungi abang, tapi sayang ada juga mereka yang ambil kesempatan jadikan peluang nak berdua-duaan.Sedih sangat abang dengan fenomena yang berlaku. Nak berjumpa dan ulang kaji tak salah, tapi abang mohon jaga adab pergaulan sesama ajnabi. Jaga aurat bila bertemu. Jangan sesuka hati je buat perangai. Abang tak suka, Tuhan abang pun murka.

Kisah yang sedih, apabila ada satu hujung minggu ni sahabat-sahabat abang pergi mengikuti perkhemahan di Janda Baik. Mereka bukan nak mengajak abang pergi sekali. Sunyi abang sendirian apabila sahabat-sahabat meninggalkan abang. Abang rasa kosong sahaja. Walaubagaimanapun masih ada sahabat abang yang masih berusaha nak gembirakan abang dan ada satu insiden apabila imam solat tidak ada, ada seorang budak lelaki ni, abang tak cam muka dia, dengan tiba-tiba jadi imam. Merdu suaranya. Syahdu je abang dengar. Mula hari tu, dia semakin rajin menjadi imam solat. Abang pun seronok, sahabat-sahabat yang lain pun ceria. Selain itu, abang rasa pilu apabila tiba cuti semester atau cuti pertengahan semester. Semua sahabat abang balik kampung mereka. Tinggallah abang sendirian terkontang kanting di sini. Sedih sungguh waktu tu.

Tapi sebenarnya, kisah hidup abang di sini tidaklah banyak kesedihan dan kepiluan, kerana kebanyakkan masa abang dihiburkan dengan keletah sahabat-sahabat abang yang comel-comel dan manja-manja tu. Mana sempat nak tacing jikalau mereka sentiasa buat abang ceria. Yang paling abang terharu apabila apa yang mereka lakukan selama ni cukup ikhlas. Abang tak pernah nampak mereka mendapat gaji bulanan dan sebarang upah melainkan upah makan kambing golek pada majlis penutupan semester. Hehe.

Apa yang best tentang abang ni adalah, abang menjadi entiti yang wajib ada dalam gambar budak-budak kat sini. Kemain abang cerita kat engkorang, budak-budak ni bergambar sakan dengan abang. Ada yang suka bergambar melompat, ada yang suka duduk-duduk, ada yang berselfie bak hang siap bermonopod dan lensa mata ikan (sila baca : fish eye lense). Apa tak tahu apa yang ada pada abang. Mungkin abang ni ada rupa, itulah gamaknya sebab mereka suka bebenar bergambar dengan abang. Abang tak kisah budak-budak ni nak bergambar, asalkan kau patuh syariat, abang layan sahaja. Tidak mahu mengecewakan peminat. Ceh, feeling retis pula abang. Hahaha.

Sebenarnya abang ni bukannya anak tunggal. Abang ada adik beradik yang bertebaran di seluruh pelusuk negara. Semua ada sahabat masing-masing yang sama macam abang miliki. Mereka semua ada matlamat yang sama, ingin menegakkan syiar Islam di negeri mereka. Abang kagum betul dengan mereka. Eh, tentu engkorang nak kenal juga dengan adik beradik abang kan? Eceh, engkorang tak payah cakap pun abang dah tahu. Di Labuan abang ada abang namanya, al-Irfan, di Pulau Pinang dan Johor si kembar an-Nur, di Kedah Khulafa' ar-Rasyidin, di Negeri Sembilan al-Muttaqin, manakala di Perak, kakak kepada abang, namanya al-Maghfirah. Nama masing-masing sangat Islamik abang beritahu kau! Sama baik macam abang. Terlupa pula kepada abang sulung abang, *maaf Along, saya terlupa sama along*. Abang sulung abang duduk Melaka bandar bersejarah, nama diberi 'Ibadurrahman. Sebenarnya abang ada lagi beberapa adik beradik, tapi nantilah ada masa engko cari sendirilah. Dan sebenarnya adik bongsu abang tak lahir lagi. Tapi dengar cerita nak tinggal di Kelantan. Yang bagusnya dia, belum lahir lagi dah ada sahabat, namanya Sahabat al-Fateh.

Baru-baru ni abang dah dapat kawan baru, Syahir dan sahabat-sahabat dia yang lain semua tolong cari sahabat abang yang baru yang akan menjaga abang selepas ni. Tapi abang masih tak tahu lagi siapa ketuanya. Harap-harap siapa pun pengganti sahabat abang yang lama, mereka masih berbuat baik dengan abang, sentiasa menggembirakan dan menceriakan abang. Walaupun abang sayang kepada sahabat abang yang lama, abang tahu mereka pun rindu pada abang, abang ada baca tweet dan insta mereka. Eh. Abang terpaksa lepaskan mereka. Abangkan doakan kepada semua sahabat-sahabat abang akan berada dalam keadaan yang baik dan di bawah lindungan Allah. Teruskan mencari spesis abang di luar sana. Abang ada ramai sepupu di serata dunia. Teruskan perjuangan kalian. Maafkan salah silap abang ya. Ada masa lapang, jenguk-jenguklah abang. Abang sentiasa ada untuk sahabat-sahabat abang. *lap air mata. Okeylah, abang takut ada yang banjir nanti. Abang minta izin untuk undur diri dulu ya. Sebelum tu abang ada serangkap pantun.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai abang antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan..

Eh, lupa pula nak perkenalkan siapa abang. Ni ha, nama abang Surau as-Sufi, abang tingggal di Kolej Matrikulasi Selangor terletak di Banting. Semoga kita bertemu lagi. Wassalam. *senyum kenyit mata sambil angkat tangan melambai.

inilah abang, tampan tak? *tanda aman.

"Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di saat tidak ada naungan lain melinkan naunganNya;
Pemimpin yang adil,
Pemuda yang hidup dalam rangka ketaatan kepada Allah,
Pemuda yang terpaut hatinya kepada masjid,
Dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah,
Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang cantik dan memiliki kedudukan namun ia berkata, 'Sesungguhnya aku takut kepada Allah,
Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya,
Seseorang yang mengingati Allah di waktu sendirian sehingga menitis air matanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


p/s : mohon jangan gunakan perkataan engkorang, engko, itu bahasa pasar. Saya guna untuk menyedapkan dan memang abang tu orang brutal.
p/s 2 : lama tak update. Baru selesai mppb.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...