Monday 20 October 2014

Adab BerWaksep ala Calon Menantu Pilihan..

[kredit]
Masha Allah, ini boleh dikatakan sebagai kefuturan menulis blog. Aduhai, lama sangat-sangat papan kekunci ini tidak disentuh untuk menulis satu entri baru dalam blog ini. Entri yang terakhir Aidilfitri yang lalu, dan hari ini sudah mahu masuk Deepavali. Paling tak tahan, apabila cerpen sebelum ini yang katanya mahu disambung, terbengkalai. Menjadi draf, menunggu masa disiapkan lagi dua, tiga perenggan, tapi apakan daya, lelah seketika. Tambahan, semenjak sebulan yang lalu, komitmen saya semakin bertambah apabila kembali menjadi pelajar.

Namun begitu, semangat menulis itu masih berkobar-kobar dan masih dilihat oleh sahabat-sahabat lain. Mana tidaknya, pantang ada iklan pertandingan menulis, hebahan menulis buku, terus dimaklumkan kepada saya. Terima kasih kerana kalian yang perasan minat saya yang satu ini. baru-baru ini juga saya menyertai penulisan cerpen sempena kemerdekaan, cerpen itu akan dimuatkan dalam zine yang saya tidak pasti bila akan diterbitkan. Insha Allah, apabila zine itu diterbitkan, saya akan maklumkan. Mengenai menulis buku, doakan, saya mohon sokongan doa kalian supaya kesungguhan dan minat ini akan melahirkan sebuah buku daripada saya. Cuma satu yang saya pinta, jika buku telah diterbitkan, jangan anda lupa untuk membelinya. Jelir lidah.

Baiklah, entri kali ini saya mahu membawa kita semua ke dalam realiti kehidupan zaman sekarang. Kemunculan alat komunikasi dan plan internet oleh syarikat komunikasi juga membuatkan dalam 10 rakyat Malaysia, terdapat 5 manusia yang mempunyai telefon pintar/tablet. Apabila sudah ada telefon pintar mahupun tablet, saya yakin dan percaya, gajet itu sudah pasti akan diisi dengan satu aplikasi yang semakin popular dewasa kini; WHATSAPP.

Whatsapp kini sudah menjadi ejen yang paling muntij dalam penyebaran maklumat, serta boleh saya katakan dapat merapatkan jurang antara kawasan. Lebih-lebih lagi proses DnT juga menjadi lebih efektif dengan bantuan aplikasi yang satu ini. Ilmu boleh dikongsi dengan hanya 'copy' dan 'paste' sahaja. Mudah bukan? Gambar juga sudah tidak perlu menggunakan gigi biru (baca : bluetooth), hanya perlu dihantar menggunakan aplikasi ini. Yalah, selesai selfie dengan sahabat yang sudah lama tidak kita jumpa, "Wei, jangan lupa whatsapp pada aku gambar tu.". Biasa berlaku bukan?

Ditambah dengan kumpulan (baca : group) yang ada di dalam Whatsapp ini, membuatkan perbincangan menjadi lebih mudah. Silap hari bulan usrah mingguan sudah tidak perlu diadakan berhadapan, hanya perlu atas talian di dalam kumpulan Whatsapp. Okey, itu sudah melampau. Tidaklah sampai tahap begitu, cuma boleh saya katakan banyak kebaikan daripada kewujudan aplikasi yang boleh dimuat turun daripada PlayStore.

Namun begitu, suka saya dengan teguran murabbi tercinta mengenai penggunaan Whatsapp. Tambahan, kita merupakan masyarakat timur yang dikenali dengan budaya adab sopan. Bukankah Rasulullah S.A.W juga mengajar agar kita menjaga adab dan akhlak serta keperibadian supaya dapat menjadi seorang muslim dan mukmin yang bertakwa. Maka, suka saya membawakan beberapa adab yang perlu diterapkan oleh kita semua, ketika menggunakan Whatsapp.

1) Kau eksiden ke?

Whatsapp kini sudah menjadi alternatif kepada sistem pesanan ringkas yang sudah sedia ada dalam telefon bimbit. Jadi kita akan lebih memilih aplikasi ini untuk menghubungi sahabat kita. Namun, apabila kita mendapat berita yang tidak baik mengenai sahabat kita, saya sarankan supaya kita tak melupakan peranan telefon untuk menelefon. Adakah patut kita me'whatsapp' sahabat kita, "Wei, aku dengar berita kau eksiden, betul ke?". Anda rasa internet di telefon bimbit sahabat kita yang baru eksiden itu sempat atau tidak disambungkan? Untuk menunjukkan kita sebagai sahabat yang prihatin gituh, saya sarankan untuk kita terus menelefon, paling bukan dia yang menjawab, saya yakin ada orang yang perasan panggilan masuk dari telefon si mangsa. Daripada menggunakan whatsapp, ya percuma, tetapi amatlah tidak sesuai pada keadaan genting seperti ini.

2) Dekat jadi jauh, jauh jadi dekat.

Okey, ini saya rasa pasti pernah berlaku. Sekeluarga di meja makan. Apalah berat sangat mulut untuk berinteraksi secara nyata, sehinggakan menggunakan whatsapp untuk meminta itu ini. Di meja makan pula, semua ahli keluarga menghadap telefon pintar masing-masing di tangan kiri, dan tangan kanan menyuap makanan. Keluarga di sekeliling sudah tidak dihiraukan lagi. Lagi menyedihkan, di telefon bimbit itu sedang rancak berborak dalam kumpulan whatsapp keluaga. Tapi di meja makan, sunyi hanya kedengaran kipas, dan pinggan. Maka benar apa yang saya pernah kata kepada Saudara Azfar Hamdii dan Daie Azzam dalam forumnya baru-baru ini, 'Media sosial mendekatkan yang jauh, menjauhkan yang dekat'. Ironi makaroni.

3) Kongsi jika anda sayang Islam.

Ini saya rasa sudah cukup sinonim sejak dahulu lagi. Saya masih ingat di tingkatan 2, saya pernah menerima surat berantai. Saya dan sahabat-sahabat langsung tidak menghiraukan surat itu, ternyata, sehingga hari ini, kami masih selamat dan masih beragama Islam. Alhamdulillah. Apabila muncul media sosial seperti whatsapp ini, sebaran mesej berantai menjadi semakin kencang. Ayat yang mudah, bercerita mitos itu, ini, dan di pengakhirannya menjadi klise, "kongsi jika anda sayang Islam", "kongsi jika tidak anda akan mendapat musibah..". Wah, cukup mudah ya. Saya rasa abaikan sahaja mesej-mesej sedemikian ataupun sekiranya diawalnya terdapat tazkirah, kita yang menerima mesej itu lebih baik disunting dahulu dan barulah dikongsi.

4) Ustaz ni cakap.

Apabila ada isu-isu hangat yang menjadi bualan masyarakat, sudah pasti akan muncullah sebaran dilaman-laman sosial terutama whatsapp. Ustaz Z cakap, Ustaz D kata, Ustaz K beritahu. Maka, berpegang kepada hujah sebaran itu datang daripada ilmuwan yang popular, menjadikan kita cukup teruja untuk kongsikan dengan kumpulan kelas, keluarga, rakan masjid, villa ketapang (eh?). Pertama, nasihat saya, cuba siasat kesahihan mesej tersebut sebelum kita sebar kepada orang lain. Pernah saya terbaca mesej kononnya JAKIM mengesahkan restoran sekian sekian disahkan haram. Tapi selepas dikaji selidik, sebenarnya bukan. Masih ingat lagi kes dna babi pda Cadbury. Bagi saya penyebaran yang serta-merta tanpa soal selidik merupakan punca utama isu itu menjadi gempak gempita, padahal bukan semua coklat yang terkena DNA babi. Maka terlupalah kita pada kalam Allah dalam surah al-Hujurat.

"Wahai orang yang beriman! Jika seorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu"(QS 49:6)

5) Wei, apa kau merepek dalam group ni?

Saya faham, ada sesetengah kumpulan whatsapp kita, yang ahli kumpulannya merupakan sahabat karib, bffl, adk beradik yang rapat sangat-sangat. Jadi dalam kumpulan itu, mungkin akan lebih terbuka untuk merepek kerepek tanpa batasnya. Maka, kejadian memanggil sahabat kita kayap ular, tong drum, monumen bergerak, adalah satu situasi yang biasa bagi kita. Gurauan semata-mata yang tidak ada kaitan antara hidup dan yang telah meninggal dunia. Semua orang ada kawan baik dan keluarga yang kalau dipanggil apa-apa, kita tahu kita maksudkan yang sebenar. Hanya gurauan untuk merapatkan lagi hubungan dan meriuhkan suasana. Tetapi awas, untuk membiarkan mesej-mesej sedemikian dibaca oleh orang lain yang boleh menimbulkan fitnah. Jadi, pesanan saya, supaya berhati-hati ketika meletakkan telefon, dan kita sebagai kawan juga supaya tidak mengamalkan perangai membaca mesej sahabat apabila dia tidak ada di situ. Amanah ok!

6)  Dia tuju soalan tu kepada siapa? Akukah?

Baiklah, semua pasti ada kumpulan yang disertai dalam aplikasi whatsapp. Kebiasaannya dalam kumpulan itu akan tiba masa ada sahabat, yang rasa keliru dan ragu-ragu dalam membuat keputusan dan dalam menentukan hukum itu ini. Jadi, ada diantaranya akan menyuarakan persoalan dalam kumpulan whatsapp masing-masing. Bukanlah mengharapkan sahabat lain dapat memberikan respon yang sempurna, kerana kita tahu pembacaan masing-masing berbeza. Tapi jika semua tidak tahu, tidak mengapa, katakan sahaja tidak tahu. Jangan biarkan persoalan itu dibiarkan lalu seperti angin sepoi-sepoi bahasa. 'La Adri' itu juga satu cabang ilmu. Sekurang-kurangnya tidaklah mereka yang bertanya itu ternanti-nantikan jawapan. Adakalanya kita menolak soalan kepada orang lain, "Eh, dia tanya siapa ni?", "Bukan tanya pada aku ni." dan sebagainya. walaupun sebenarnya kita tahu jawapan, ataupun jika kita benar-benar tidak tahu, katakan kepada mereka, "Cuba kau tanya Ustaz(orang yang lebih arif)."

7) Kita berdua, menggegar dunia.

Saya faham, dalam kumpulan whatsapp masing-masing, bila ada isu yang kita ahli, kita akan cukup teruja memberi respon. Tidak ada sebarang masalah langsung. Tetapi yang menjadi masalah apabila hanya anda berdua sahaja yang cukup faham dan arif mengenai isu itu. Lebih-lebih lagi perbualan itu berlaku di tengah malam yang hening. Bukankah lebih beradab sekiranya kita memilih untuk mengadakan perbualan berdua sahaja supaya tidak menganggu ketenteraman orang lain. Saya juga yakin perbualan berdua secara privasi adalah lebih mengujakan, tambahan tidaklah menambahkan geram pada ahli kumpulan lain apabila bangun tidur melihat notifikasi whatsapp beratus, rupa-rupanya perbualan berdua sahaja.

Saya rasa cukup itu dahulu beberapa adab-adab yang saya boleh kongsikan apabila kita bermuamalah di laman sosial terutamanya melalui aplikasi whatsapp. Setiap masa kita perlu beradab, ala-ala menjadi calon menantu pilihan, begitu juga ketika berwhatsapp. Mana tahu bakal mak mertua kita sentiasa memerhatikan kita melalui kumpulan whatsapp. Haha. Merepek. Oh terlupa satu lagi.

8) Jangan lupa upload gambar selfie anda dengan banyaknya dalam kumpulan whatsapp agar memori telefon mereka penuh. 

Ok gurauan. Senyum jelir lidah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...