Monday 4 August 2014

Memboikot Biar Berakhlak..

[kredit]

Disebabkan saya merasakan isu ini penting dan perlu untuk saya ketengahkan, saya tangguhkan dahulu untuk siapkan dan publishkan sambungan cerpen ini. Bukan apa, sebagai orang yang selalu bercerita mengenai isu boikot, bahkan saya sendiri pernah publishkan satu entri khusus untuk memberikan kefahaman (moga-moga fahamlah) mengenai usaha boikot ini. Bagi sesiappa yang belum membaca entri sebelum ini, boleh klik di sini dan fahamkan dahulu mengapa kita memboikot dan pelbagai isu yang timbul daripada usaha ini.

Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana entri sebelum ini mengenai boikot mendapat perhatian ramai. Selain itu juga, saya bersyukur kerana berdasarkan pemerhatian saya, boikot beberapa produk yang memberikan dana kepada Zionis sudah mendapat sokongan yang jitu daripada pelbagai pihak seperti persatuan pengguna, ngo-ngo khusus membantu Palestine, artis-artis, usahawan-usahawan, persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menegah Kebanggsaan Ayer Dalam, Pasti An-Nur, dan ramai lagi individu yang cukup gagah dalam memperjuangkan memboikot produk-produk seperti McDonald, Starbuck, Coca-Cola, Nestle dan lain-lain.

Jika kita ada baca ada laporan yang dikeluarkan beberapa akhbar dan buletin, menyatakan saham Coca-Cola dan McDonald menurun, itu menunjukkan usaha yang kecil ini sudah memberikan kesan kepada ekonomi dua produk yang besar itu. Jadi siapa cakap boikot tak efektif? Tambahan, sebenarnya, boikot ini bukanlah berlaku sehari dua, tetapi ada sesetengah negara sudah mula memboikot produk dari Israel beberapa tahun dahulu, dan saya sendiri sudah mula berjinak-jinak memboikot sejak 4 tahun dulu. Saya juga yakin di luar sana juga ramai sahabat-sahabat yang memang sudah lama tidak merasa McDonald, tidak menghirup kopi Starbuck, meneguk Coca-Cola. Jadi tidak peliklah, jika saham produk-produk itu merudum.

Namun begitu, seperti biasa di mana ada kebaikan, sudah pasti ada keburukannya. Apabila boikot ini mula menjadi trend semasa, maka muncullah individu-individu yang memboikot dalam keadaan emosi, membuta tuli, dan tidak berakhlak (maaf agak kasar.). Saya cakap berdasarkan pengamatan dan pemerhatian saya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram. Saya nampak jelas, nyata, ramai orang yang tidak berpada-pada dalam memberikan kesedaran untuk memboikot. Boikot itu baik, tapi bimbang dengan cara dan akhlak kita yang tidak beretika itu, membuatkan boikot menjadi fitnah kepada beberapa perkara. Saya sendiri sempat membaca respon beberapa individu mengenai perkara ini, dan saya juga terpanggil untuk merespon. Pelbagai situasi yang berlaku, dan membuatkan saya rasa mual pada usaha boikot. Tapi jangan risau, saya hanya mual kepada perlakuan itu, bukan pada boikot.

Tentu ada yang tertanya-tanya perlakuan yang bagaimana yang saya maksudkan. Baiklah, cuba anda gesek ke atas bawah telefon pitar anda, cuba cari mana-mana gambar yang menunjukkan beberapa orang sedang makan di McDonald, cuba anda baca komen-komen di bawah. "Tak boikot ke?", "Kalau makan McD tak tahu lah nak cakap apa", "Amboi, sedap bagi peluru kepada Zionis?", "Aku nampak darah anak Pelastine kat McChicken tu", "Geng Zionis, bangga Netanyahu dengan kau!", "Membantu nak ke neraka!", peh, tersedak jugalah dibuatnya apabila membaca komen-komen macam tu. Ganasnya peringatan kita, tambahan pula, siapa yang post gambar makan McD, minum Coca-Cola, memang teruk kena bash dan silap hari bulan kena troll kaw kaw dengan mana-mana page. Astaghfirullahal'azim.

Respon saya, boikot adalah hak masing-masing, kalau tak nak boikot, terpulanglah kepada orang tu, tapi siapa kita nak bersikap emosi macam tu? Adakah itu akhlak seorang Muslim yang sedang memeperjuangkan hak rakyat Palestine, silap hari bulan bila orang Palestine, tengok perangai kita macam ni, mereka yang minta maaf bagi pihak kita. Itulah antara emosi yang tidak berasa yang telah kita pamerkan untuk mengingatkan orang untuk memboikot. Mengajak orang memboikot tak salah, ajaklah, serulah, kumpullah seramai mana pun orang untuk boikot, sebab itu tujuan kita, tapi jangan guna cara yang salah. Mengejek, menghina, dan memburuk-burukkan bukanlah satu akhlak Islam. Namun begitu, mereka yang post gambar makan McD bagai tu, kena faham juga, sekarang ni makan di tempat yang diboikot merupakan satu perkara yang sensitif, jadi jangan dijolok sarang tebuan.

Selain itu, ada juga cadangan kononya, tidak mengapa tidak makan McD, tapi boleh pergi tandas McD, biar nanti McD terpaksa keluarkan kos untuk penyelenggaraan dan sebagainya. Ya Allah, sampai tahap macam tu sekali? Saya masih ingat suatu ketika dahulu, saya dan rakan sekolah ada pergi ke tepi pantai bersama junior-junior untuk sukaneka dan sebagainya, ada junior yang ingin menggunakan air paip di sebuah kedai makan sedangkan kedai itu masih tutup. Lalu, ada sahabat saya menegur tindakan itu, katanya, "Bukan ke air yang disediakan di kedai tu hanya untuk kegunaan pelanggan sebab bil air yang mereka bayar menggunakan keuntungan kedai, jadi kita yang tak membeli apa-apa, tapi nak guna, air tu bukan hak kita." Sentap, tapi ada benarnya. Begitu juga dengan tandas McD, saya yakin dan percaya kos penyelenggaraan tandas, sewa restoran termasuk dalam keuntungan jualan dan sudah pastinya tandas itu adalah kegunaan pelanggan sahaja. Kita yang tak membeli tidak ada hak untuk menggunakan tandas itu melainkan kita minta kebenaran dengan bos cawangan.

Tambahan, ada yang kononnya mencadangkan juga supaya beli makanan dari luar dan makan di dalam McD, kelakar sebab makanan dari luar tidak dibenarkanlah. Lagi satu, mereka bayar sewa, jadi hujah saya sama seperti menggunakan tandas. Premis mereka bukan hak kita juka kita bukan pelanggan. Saya ada melihat beberapa gambar demonstrasi di hadapan McDonald, tak, saya tak cakap salah. Bahkan saya sendiri jika berkesempatan, saya juga mahu turut serta. Tapi, seperti biasa, jaga akhlak kita. Jika sekadar kita berada di luar sambil menerangkan sebab dan rasional memboikot, tidak ada masalah, namun begitu, perlukah kita bila nampak orang masuk terus diperli-perli, dikutuk-kutuk tindakan mereka? Tak dilupakan juga, bukan ke kita akan mengganggu pelanggan yang lain dan sememangnya bukan akhlak sebagai muslim yang baik.
[kredit]
Saya ingin mengingat semua sekali termasuk diri saya sendiri, jaga akhlak kita. Jangan sampai menjadi fitnah kepada islam. Boikot ini juga masih ada baik da buruknya. Nak bagi kesedaran, boleh, tapi jangan sampai memburukkan orang lain yang sedang memboikot. Boikot adalah hak individu, tapi jangan pernah berhenti mengajak orang lain untuk memboikot daengan cara yang berhemah, beretika dan menggambarkan ciri sebagai Muslim.

Saya memilih untuk boikot!

p/s : Saya mendapat mesej di aplikasi Whatsapp mengenai ada kempen boikot McD secara total pada hari jumaat ini. Jom, ajak sahabat lain untuk boikot McD 100% untuk hari itu dan hari-hari mendatang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...