Saturday 16 November 2013

Sumpah Aku Kagum..

mungkinkah hidayah akan menyapa saya??[kredit]
Banyak perkara dalam dunia ni yang saya betul-betul kagum. Sama ada bangunan, makanan (okey, aku pelahap), tempat perlancongan, dan lain-lain. Tapi yang paling saya kagum adalah manusia. Manusia adalah ciptaan Allah yang sangat osem. Meskipun, para saintis ada mencipta robot-robot yang mempunyai keupayaan seperti manusia, tetapi sampai sekarang, mereka tidak pernah berjaya mencipta robot yang boleh mendapat hidayah daripada Allah. Osem bukan? Manusia sahaja yang boleh menjadi tapak untuk hidayah bertapak.

Untuk disapa (lebih ekstrem aku pinjam ayat IG, disepak, diterajang) oleh hidayah, bukan semudah makan kacang menglembu cap pagoda atau cap tangan. Hidayah ini pula bukan senang-senang je diwariskan oleh abang Imam, Ustaz Ustazah, mahupun para-para Dai'e (termasuklah Dai'e Muda) kepada anak-anak mereka. Bahkan, para dai'e ni sendiri, yang berkobar-kobar berdakwah sekalipun, tidak mampu memberi hidayah kepada manusia.

Nampak mudah je sebut hidayah. Tapi hadirnya bukan sebarangan. Akan menemui semua orang, ya kita semua. Tapi macam mana layanan kita terhadap kehadirannya membezakan kesan yang akan kita alami selepas bertemu dengannya. Baik layanannya, baiklah kesannya dan begitulah sebaliknya.

Hidayah ni kalau datang, bukan beri amaran, pakai datang je. Itu yang paling saya kagum dengan Allah. Dia hadirkan hidayah itu dengan tiba-tiba je. Ketika kita sedang membaca al-Quran, tiba-tiba je hati kita rasa bergetar. Bukan jatuh cinta dengan makcik sebelah rumah, tapi rupa-rupanya, ayat yang kita baca adalah ayat peringatan daripada Allah tentang azab neraka. Maka takutlah kita berbuat doa.

Kes lain pula, (ini untuk perempuan), dalam kelas anda tengok ada kawan anda pakai tudung labuh cantik je dan anda ni pakai tudung kena tarik-tarik baru tutup dada. Walaupun begitu, kawan anda memberikan layanan yang baik buat anda, langsung tidak ada dikriminasi pemakaian. Lagi syiok, dia menghadiahkan anda tudung yang lebih syarak. Anda pun, terkesan dengan kebaikan yang dia berikan, apa lagi, anda pun mula berubah. Itu hidayah bukan?

Sedang seronok-seronok berjimba dengan ikhtilat yang tidak dijaga, tiba-tiba ada seseorang lalu di tepi anda membisikkan sesuatu, "Akh, jaga pandangan mata,". Zuuppp.. tepat di dada. Terus anda tersedar yang anda sudah melampaui batasan pergaulan yang dibenarkan. Hanya dengan satu ayat, mampu merubah segalanya. Itu hidayah bukan?

Itu belum saya cerita mengenai hidayah yang menyapa Saidina 'Umar al-Khattab. Ini antara kisah paling menyentuh hati yang pernah saya dengar. Apabila disapa hidayah, daripada seorang lelaki bengis yang membenci Islam, berubah menjadi antara saff hadapan dalam perjuangan Islam. Itu pada zaman Rasulullah. Zaman sekarang, pernah dengar kisah penghijrahan penyanyi terkemuka, Farah Asyikin? Bukan mudah untuk dia berhijrah sesuka hati, sudah pasti ada peranan hidayah di situ. Kagum gila! Sumpah!

Kolerasinya di sini, hidayah adalah tanda cinta Pemilik Cinta (Allah) kepada kita. Dia biarkan dahulu kita berenang di kolam jahiliyah kita dahulu, dan bila Dia nampak kita berusaha menujuNya, barulah panahan hidayah akan menyapa. Dia tidak mahu kita jauh daripadaNya. Kita merangkak menuju Allah, Allah akan berlari menuju kita. Dia akan peluk kita dengan cintaNya.

Jaga hidayah yang Allah berikan. Jika kita terlepas, tidak mudah hidayah itu akan kembali. Saya pernah alaminya. Moga Allah kekalkan hidayah dalam hati-hati kita untuk terus mengabdikan diri kepadaNya, untuk terus menikmati cintaNya, dan menggapai redhaNya. Insha Allah.

SEMOGA KITA TSABAT DALAM JALAN INI..

Thursday 7 November 2013

Ini Semua Tidak Adil!

[kredit]

Keadilan. Saya mentakrifkan keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bunyinya macam mudah, tetapi sejauh mana dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita? Lawan bagi keadilan adalah kezaliman. Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Isu adil dan tidak adil acap kali dibangkitkan oleh masyarakat. Paling banyak diketengahkan apabila berkaitan dengan harta pusaka dan poligami. Baiklah saya berikan contoh situasi.

Situasi 1.

"Halijah, kau nak dengar cerita tak. Faruq anak pak Deris tu baru je berkahwin yang kedua, maksudnya, Fatimah tu dah dapat madu. Aku dengarlah, Faruq belikan isteri baru dia kereta Vios yang baru keluar tu, tapi Fatimah dapat kereta Saga je. Memang tak adil betullah si Faruq tu. Dah tahu nak bermadu, kenalah bahagi sama-rata antara isteri.,"

"Iya, Saodah? Aku pun ada dengar juga. Tapi ini ada kisah yang lebih kurang sama je dengan si Faruq tu. Nazim belikan isteri muda dia banglo 2 tingkat. Kau tengok tak rumah isteri tua dia? Setingkat je. Faruq ke, Nazim ke sama je, ada hati nak berpoligami."

Situasi 2.

"Ini tidak adil. Macam mana abang boleh dapat banyak tu? Adik dapat banyak ni je? Padahal ayah lebih sayang pada adik berbanding abang. Waktu ayah hidup pun, adik yang banyak luangkan masa dengan ayah. Tapi harta ayah, adik dapat sikit ni je? Ini tidak adil!"

Baiklah, cukuplah dua situasi di atas.Saya yakin anda juga mampu memberikan contoh-contoh yang seumpama dengan contoh-contoh di atas. Inilah senario yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Apa yang boleh saya cakap, adil itu bukan diukur pada kuantiti atau nilai sesuatu, tetapi diukur sejauh mana sesuatu perkara diletakkan pada kesesuaian tempat dan masa.

Baiklah, mengenai pembahagian harta pusaka. Saya sempat belajar 4 bulan mengenai pembahagian harta pusaka dalam Islam. Pembahagian yang sangat cantik. Setiap bahagian ada sebab dan alasan. Lelaki akan mendapat lebih dari perempuan. Ya, jika diukur dari sudut nilai dan keadilan pembahagian. Nmpak macam tidak adil. Lelaki lebih daripada perempuan. Mana boleh kan? Em..em, tapi itu jika difikir berdasarkan akal fikiran kita, tapi cuba kita pandang hikmahnya.

Seperti yang kita tahu tanggungjawab yang dipikul oleh lelaki adalah lebih besar jika dibandingkan dengan perempuan. Saya pernah dengar ada ustaz cakap, "Duit suami untuk suami dan isteri, tapi duit isteri untuk dia sahaja. Dia boleh memberi wang kepada suami, tapi bukan satu kewajipan,". Selayaknyalah lelaki mendapat yang lebih banyak daripada perempuan, bukannya untuk memuaskan keperluan lelaki semata-mata ataupun mahu menindas kaum wanita.

Berkaitan adil dalam poligami, hem, saya akui memang banyak pasangan yang mengamalkan poligami gagal melaksanakan keadilan seperti yang ditetapkan dalam Islam, tetapi dengan kes-kes buruk yang ditayangkan dan dihebahkan di media, tidak bermakna tidak ada pasangan yang bahagia dengan poligami mereka. Jika kita ukur adilnya poligami dengan material, memang tak sudah. Isteri pertama dapat rantai emas 5k, isteri kedua pun kena dapat rantai emas yang sama. Seperti yang saya sebutkan di awal, adil itu meletakkan sesuatu kena pada tempatya, dan berdasarkan situasi yang saya beri di atas, mendapat kereta  Saga dan yang satu lagi dapat Vios, tidak menggambarkan si suami tidak adil. Mungkin itu pilihan si isteri. Isteri yang mendapat Saga sememangnya mencintai produk negara.

Saya berikan analogi, seorang bapa ada anak kembar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Menjelang hari raya, untuk menunjukkan adilnya si bapa, dia telah membeli kedua-dua anaknya baju melayu sama warna, sama saiz, dan sama harga. Adil bukan? Tapi ini tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Anak perempuan sewajarnya mendapat baju kurung/kebaya/jubaah dan anak lelaki dibelikan baju melayu.

Kolerasinya di sini, saya ingin menekankan bahasa adilnya sesuatu bukan pada nilai atau kuantiti, tetapi sejauh mana sesuainya perkara itu dilaksanakan. Kita berfikir bersandarkan pada wahyu, bukannya akal dan nafsu. Kita menentukan adil ataupun tidak, berdasarkan kesesuaian. Barulah kita tidak tertekan. (ceh, kaitan).
Apa-apa pun,

MACAM ADIL JE..


p/s :: update yang paling bosan.. haha..^^

Sunday 3 November 2013

Dia Bersarapan Pagi..

[kredit]


"Muqri, aku rasa Ameer tu dah futurlah," Aidil yang sedang menikmati air sunquick blackcurrant berais memulakan bicara.

Muqri memandang Aidil dengan muka kosong seraya berkata, "Ha, yalah, tadi dia sarapan tepi meja kita kan? Aku nampak dia makan mee goreng talam yang peh sedap gila tu. Haha,"

"Lah, kau ni, dah agak tentu kau ingat aku cakap futur tu. Bukan futur, sarapan pagi tapi futur lain. Sekejap ya," pantas tangan Aidil mengambil tablet berjenama Samsung yang dihadiahkan oleh kakaknya sempena ulang tahun kelahiran baru-baru ini di dalam beg sandangnya. Dia menyambung perkhidmatan internet yang disediakan di kafe itu. "Nah, baca ni."dihulurnya tablet tersebut kepada Muqri.

"Eh, apa ni? Angel Pakai Gucci. Aku pernah dengar blog ni, tapi tak pernah pula buka. Ada apa? Kit Futur?" kelihatan anak mata Muqri bergerak dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri sambil jari telunjuk tangan kanannya menggesek-gesek tablet itu. Kelihatan di wajahnya menahan gelak dengan elemen-elemen kelakar yang diselitkan oleh penulis blog tersebut. Terkadang jelas di wajahnya berubah kosong dan menunduk, sentap barangkali. Namun begitu, air kopi susu kambing di tangannya masih terus diteguk.

"Antara kefuturan yang kau maksudkan?" setelah memahami istilah futur, Muqri memberi respon kepada topik perbualan yang dimulakan oleh Aidil.

"Dulu, selalu aku nampak dia berjemaah kat surau, sekarang ni semakin jarang. Bulan Ramadhan, bukan main seronok dia jadi imam terawih, sekarang ni dah tak de dah. Aku rasa kau lebih perasan daripada aku. Kau kan ketua imam. Usrah pun dah jarang dia sertai. Macam mana nak faham perjuangan, kalau usrah hadir lompong-lompong. Biasanya, sebelum tidur, dia akan hantar mesej kepada aku mengingatkan untuk aku membaca surah al-Mulk, berwudhuk, tapi sekarang, malam aku sudah mula sepi tanpa mesej daripada dia." panjang bicara Aidil. Mungkin sudah lama dia memendam.

Muqri terdiam, namun benaknya mengiyakan apa yang telah Aidil katakan.

Muqri menarik nafas panjang, "Fiiiuuuuh, macam mana nak cakap ya, okey, aku perasan, tapi boleh kau beri aku masa untuk aku siasat dulu, ceh. Kau pun, kenalah support dia, maybe dia ada masalah. Kau cakap kita ni ukhuwah fillah, nak sama-sama masuk syurga, jadi, bila nampak kawan lemah, kuatkan, nampak kawan jatuh, bangunkan, nampak kawan lupa, ingatkan. Ukhuwah is not about nafsi, nafsi tau.." berubah wajah Aidil. Dia sedar, dia nampak sahabat yang dia cinta fillah sudah mula berubah, tapi dia langsung tidak ambil tindakan. Dia hanya tahu merungut di belakang, namun di hadapan, terdiam dan hanya memerhati.

"Muq, terima kasih ingatkan aku, eh, jom pergi surau. Aku nak kau ajar aku tajuk 7 tu, pasal buffer solution. Madam cakap, markah untuk soalan bahagian tu besar." Aidil menamatkan seketika bicara mengenai Ameer.

"Okey, jom." Muqri menghabiskan kopi lalu bangkit untuk menuju ke surau. Dalam fikirannya, dia sedang mencari jalan terbaik untuk membantu sahabatnya itu.

..........................................................................................

Malam itu, Muqri menjadi imam solat fardu isyak. Pelajar lepasan SM Imtiyaz, Kuala Terengganu. Sewajarnya dia manfaatkan kalamullah yang terlah menjadi sebahagian daripada hidupnya dengan menjadi imam. Semoga memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain.

Seusai memberi salam, dengan bibir yang sedang mengalunkan wirid, Muqri meninjau di belakang, sepertinya mencari seseorang. Sebelah kiri, sebelah kanan. Hampa. Orang yang dia sedang menanti tidak kunjung tiba ; Ameer.

Sebelum turun ke surau untuk menunaikan solat maghrib, Muqri sempat menghantar mesej kepada Ameer, 'Assalamualaikum akhi. Jom malam ni kita imarahkan surau, bersama-sama solat berjemaah. :)'

Mengharapkan balasan, kosong.

Ya, dia tahu, dia perlu melakukan sesuatu. Malam ini, asrama Canopus akan menjadi persinggahan. Sudah lama benar dia tidak menjenguk Ameer. Ada sesuatu yang dia perlu tanyakan kepada sahabatnya itu. Dia tidak mahu masalah yang diadukan oleh Aidil sekadar berlalu begitu sahaja. Harus diselesaikan dengan segera!

Pelbagai strategi perlu dirangka untuk menyentuh hati sahabatnya itu.

'Ya, kebab Mumtaz!'.

..................................................................................................

Kakinya melangkah menapak anak-anak tangga menuju aras 1. Dalam fikirannya sedang menyusun ayat yang terbaik untuk memulakan bicara. Bimbang kata-katanya akan menyebabkan masalah menjadi lebih rumit. Dia perlu menggunakan cara yang paling berhikmah.

'Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, dan jauhkanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku,' (20:25-28).

'Tuk, tuk, tuk,' pintu bilik 5 aras 1 diketuk oleh Muqri diselangi dengan salam. Jatungnya berdegup dengan kencang, ini bukan perkara yang senang. Besar tanggungjawab yang digalas. 

"Ya? Cari Ameer ke?" kelihatan rakan sebilik Ameer keluar terlebih dahulu. Muqri cuba mengingati nama lelaki tinggi lampai itu, 'Erm, Luqman? Eh, tidak, tidak. Ha! Nuqman,' Muqri selalu terserempak dengannya, tapi dia tidak terlalu rapat dengan Nuqman. Ameer pernah menperkenalkan Nuqman kepadanya. 

"Ha'ah, Ameer ada?" Muqri membenarkan soalan yang diajukan oleh Nuqman.

"Ameer? Rasanya dia dah tidur tadi. Kejap ya," Nuqman meminta izin untuk masuk ke bilik sebentar.

"Dia ada, tengok movie. Masuklah." Nuqman meluaskan daun pintu, terkejut juga Muqri, jam menunjukkan pukul 11.45 malam, peperiksaan akhir semester minggu hadapan, masih sempat menonton filem? Aneh, ini bukan Ameer yang dia kenali.

"Assalamualaikum, Ameer," Muqri menguntumkan senyuman, lalu dihulurkan tangan dan disambut oleh Ameer. Dari atas, ke bawah, matanya memerhati Ameer. Terkesima seketika, tidak pernah Muqri melihat Ameer berpakaian sedemikian. Bersinglet, dan berseluar pendek. Nampak normal, tapi pendeknya seluar itu bukan seperti biasa; atas lutut. Astagfirullahal'azim.

"Muqri, ada apa ya? Macam penting je datang malam-malam bilik aku ni." Ameer bertanya.

"Err, busy ke? Ni nak ajak kau makan kebab Mumtaz. Aku tahu kau suka makan sebab tu aku beli dua. Kau satu, aku satu. Jomlah, kita makan kat bilik aku," Muqri cuba memujuk menggunakan senjata rahsia : kebab Mumtaz. Dia tahu benar sahabatnya itu benar-benar menyukai kebab Mumtaz.

"Ini baru beli kan? Eheh, kalau panas-panas, peh, memang terbaiklah, jom!," 

Umpan terkena.

"Eh, eh, tukarlah baju dan seluar tu dulu. Lama ni kita nak berborak, rindu nak dengar celoteh kau tu."

Mereka berjalan beriringan menuju ke bilik Muqri di blok Capella. Masing-masing diam, Muqri sepertinya sedang memikirkan sesuatu, Ameer kelihatan sudah tidak sabar untuk menikmati kebab Mumtaz. Semenjak tamat bulan Ramadhan, sudah lama dia tidak menikmati kelazatan kebab Mumtaz. Namun benaknya tertanya-tanya, tidak mungkin agenda malam itu hanya untuk makan kebab Mumtaz. Pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Muqri.

Mereka sudah sampai di bilik Muqri. "Masuklah, roommates aku tidur bilik kawan dorang malam ni. Kalau kau nak tidur bilik aku pun boleh. Duduklah dulu, aku nak pergi jerang air, pekena Herbalife malam-malam ni memang satu kenikmatan bagi pelajar Matrikulasi macam kita ni. Haha, okey itu motf sangat." tangan Muqri kencang mengoncang bekas minuman Herbalife, Mangga sememangnya kegemarannya. 

"Ha, minumlah, eh, makanlah ni, buka plastik kebab tu. Ameer, kau sihat?" Muqri sudah mula memancing untuk membawa Ameer kepada tujuan utamanya.

"Aku sihat je, biasalah batuk-batuk, selesema sikit. Kenapa ni kau tanya? Muka pun serius semacam. Poyolah."

"Ameer, sekarang ni kau dah lainlah. Sebab itu aku tanya, takutlah sakit ke," muka Muqri berubah.

"Eh, aku okey je. Takdek apa-apa pun. Apa yang lainnya? Kau ni buat suspen je, straight to the point boleh?"

"Kau tahu, kat dunia ni ramai yang sayangkan kau, family tu jangan cakaplah, itu sudah semestinya. Tapi ini, orang yang tidak ada ikatan darah dengan kau, sayang benar mereka kepada kau. Setiap kehidupan kau, sentiasa dalam ingatan. Nama kau, seringkali disebut menjadi kemestian di dalam doa. Kau tahu siapa?" Muqri tahu dia tidak memerlukan jawapan Ameer, dia sendiri yang akan menjawab persoalan itu.

"Yang sayangkan kau, adalah ikhwah kau. Kami, rakan seperjuangan dalam usrah. Kami sayang kau fillah. Aku tak tipu. Aku ni kalau nampak orang yang aku sayang berubah, aku jadi tak sedap hati. Okey, sejujurnya, aku dan kawan-kawan nampak kau dah semakin lain, kenapa ni?" 

"Apa yang kau cakap ni. Apa yang aku berubah?" Ameer benar-benar tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu?, benak hati Muqri berkata.

"Okeylah, aku jujur, aku bukan nak cakap aku ni baik sangat. Aku tidak maksudkan kau dah semakin jauh daripada Allah. Aku tahu kau masih solat. Tapi aku rindu nak jumpa kau di surau. Aku rindu suara kau menjadi imam, jadi mua'zin. 5 waktu solat, aku tunggu kau, tidak ada. Aku cuba berbaik sangka, tapi bila ada orang yang perasan juga, aku jadi tak sedap hati. Tadi, terkejut aku, tidak pernah aku nampak kau berseluar pendek macam tu. Padahal dalam usrah, kau yang beri tazkirah mengenai aurat. Aku rindukan Ameer yang dahulu. Di mana dia sekarang?" suara Muqri bertukar emosi, tegas, tapi penuh kasih sayang.

"Herm, aku penat. Aku letih. Aku berdakwah, aku join usrah, jaulah, daurah, tapi aku tetap tetap macam ni. Aku belajar sungguh-sungguh. Murabbi cakap siapa bantu agama Allah, Allah akan bantu dia. Tapi kenapa Allah tak bantu pun aku. Exam mid sem aku, bawah 1.00. Mana aku nak letak muka. Tazkirah kuat, post status facebook Islamik kencang, usrah san sani, tapi exam macam tu. Aku dah usaha, aku berjaga sampai pukul 3 pagi. Aku tahu siang hari aku sibuk dengan kelas, usrah, aku cuba buat yang paling baik, tapi ini je bahagian aku?," Ameer seolah-olah memuntahkan larva kemarahan. Tidak tahu, siapa yang sepatutnya dipersalahkan. Sepertinya, dakwah dan tarbiyah menjadi punca kegagalannya dalam peperiksaan yang lepas.

Mengucap panjang Muqri mendengar luahan hati Ameer. Terkejut, hanya kerana keputusan Ujian Pertengahan Semestar tidak cemerlang, jadi macam tu sekali. Ameer yang dia kenali dengan tazkirah berapi, mampu menyentap dan menyedarkan pendengar menjadi seorang yang putus harapan. Masalah bukan sekadar kefuturan, bahkan boleh menyumbang kepada maslah akidah. Dia harus mencari penyelesaian malam ini juga. 

"Huh, ini Ameer, jundi KISAS yang hebat tu? Dengar cerita bagus sangat zaman sekolah dulu, bawa usrah adik-adik, bila masuk matrik, pantang ada peluang jadi imam, dialah yang kehadapan. Result mid sem teruk, tiba-tiba jadi macam ni? Pondan betul," sinis Muqri memandang. 

Diteruskan kalam, "Istighfar banyak-banyak Ameer, inikah ganjaran yang engkau inginkan apabila bergerak dalam gerabak dakwah dan tarbiyah ni? Allah bukan hanya untuk kau seorang. Kejayaan dan pertolongan yang Allah janjikan bukan untuk kepuasan hati kau semata. Kegagalan mid sem bukan bererti Allah tidak membantu kau. Bahkan Dia sedang menolong kau melalui kegagalan dalam peperiksaan, Allah menolong untuk menjadikan hati kau lebih tabah dengan ujian. Aku tahu kau sudah berusaha, tapi kau muhasabah balik, betul ke usaha, niat belajar lillahi ta'ala. Kejayaan itu Allah yang tentukan. Jangan pernah berputus as dengan Allah, jangan pernah buruk sangka terhadap Allah. Bukan kau seorang diuji, para sahabat lagi teruk diuji, Rasulullah? jangan cakaplah, pelbagai mehnah diterima, ada baginda putus asa, ada baginda berhenti menerima wahyu daripada Allah, ada baginda kunci diri dalam bilik sebab sudah tidak mahu berjumpa dengan Jibril? Takdek, tak pernah,.! Tajdid niat, dakwah tarbiyah ni bukan jalan menuju dunia semata-mata, tapi ini langkah kita meraih redha Allah. Kita nak mengecapi syurga. Nak senang-lenang, rileks, chill-chill, bukan di dunia. Kita rehat dia syurga nanti. Aku nak rehat dengan kau dalam syurga nanti. Di dunia ni, kita rehat seadanya je, kita gunakan masa yang ada untuk tuntutan, amanah. Dakwah tarbiyah itu yang pertama, tapi pelajaran bukan yang kedua. Satu lagi, nah baca ni," Muqri mengambil terjemahan al-Quran berwarna biru gelap di atas meja belajarnya, pantas dia membuka, menyelak helaian demi helaian al-Quran tersebut, bagaikan mencari sesuatu lalu dihulurkan kepada Ameer.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan menyatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."(29:2-3)

Ruang bilik menjadi sepi seketika. Laju air mata Ameer mengalir. Bahunya terangkat atas ke bawah. Terkesan dengan firman ar-Rahman. Benar-benar tepat menuju hatinya. "Bro, kenapa kasar sangat ni?. rabak dah hati. Tapi aku rela dan terima, hati ini terus rabak, terus disepak terajang, asalkan aku tak lupa pada Allah. Aku khilaf. Terima kasih, akhi." Ameer merangkul bahu Muqri dan dia memeluk sahabatnya itu.

"Hidayah Allah tu bukan senang nak tiba, bila dia datang, kau jangan tolak, terima kehadirannya, bagi layanan yang terbaik, pastikan hidayah terus bersama kita." tangannya laju menepuk-nepuk bahu dan belakang Ameer. "No hal lah, bro, aku bukannya nak kawan dengan kau kat dunia ni je, aku nak bersama dengan kau kat syurga tu. Kau pun, ingatkan aku kalau aku jauh dari gerabak, itulah gunanya sahabat. Aku sayang kau fillah. Uhibbuka fillah,"

"Uhibbuka fillah aidhon,"

................................................................................

Selepas peristiwa itu, jelas perubahan dalam diri Ameer, semangat belajar juga semakin meningkat. Hampir setiap hari dia menjadi imam. Aidil dan Muqri bersyukur ikhwah yang mereka sayangi kembali seperti asal. Usrah pun semakin kerap. Mereka sering membuat perbincangan dalam kumpulan untuk menghadapi peperiksaan akhir semestar minggu hadapan.

Peperiksaan akhir semestar berakhir. Petang Jumaat, meraka akan pulang ke rumah untuk bercuti semestar 1. Muqri mengajak sahabat-sahabat usrahnya berkumpul seketika. Sebagai amir usrah itu, ada sesuatu yang perlu dia sampaikan buat rakan-rakan. Mandat untuk bercuti. Terbayang Kit Futur oleh Angel Pakai Gucci.

"Kawan-kawan, kita cuti sem 3 minggu kan?" Muqri bertanya kepada Aidil dan Ameer.

"Err, ha'ah. Kenapa?" Aidil menjawab.

"Aku nak cabar kita semua ni,"

"Erk, nak cabar apa pula ni?" Ameer bertanya, berdebar.

"Aku cabar sepanjang cuti ni, kita tidak kenal dan jumpa pun sejadah kat rumah sepanjang waktu solat fardu melainkan ada maslaah-masalah yang tidak mengizinkan,"

Glurp, mengalir peluh.

"Amacam, ada berani?"

"Insha Allah," balas Aidil dan Ameer serentak.

"Aku tahu korang boleh dan mampu. Kita sama-sama berjuang dan berusaha ya."

[kredit]



p/s :: cerpen pertama DM. Doakan agar lebih rajin menulis selepas ini. Cuti sem kot.
Moga Allah redha.


Monday 14 October 2013

Bro, Sikit Pun Tak Salah..

bro, jangan macam ni. sikit pun tak salah tindakan tu..[kredit]
Kisah 1

"Alias, kau ikut tak kami pergi demonstrasi menentang budak-budak yang tak senonoh upload gambar bak kut teh halal.. Apa kejadahnya mereka berbuat sedemikian. Benar-benar menghina agama Islam. Sah-sah bak kut teh tu haram, memandai je nak halalkan benda tu. Selain itu kita akan menentang budak perempuan yang buat video raya dengan anjing. Berani sungguh dia. Kita harus pastikan mereka mendapat balasan yang setimpalnya.." kata Shaifuddin kepada sahabatnya, Alias melalui panggilan telefon menggunakan tangan kanannya pada masa yang sama tangan kirinya memegang rokok yang akan dihisapnya.

Kisah 2

"Arman Iskandar, jom ikut aku."

"Ke mana?"

"Ni ada malam amal Palestin di Stadium di Ibu Kota tu. Ayuh, kita tunjukkan solidariti kita kepada perjuangan umat Islam di Palestin. Kesian weih aku terhadap mereka di sana."

"Aku okey je. Eh, eh, tadi tak nampak pun kat surau solat subuh. Kau solat kat bilik ke?"

"Erk, ha'ah, aku terjaga pukul 10 tadi then terus solat."

Kisah 3

"Orang Kristian tidak boleh guna kalimah Allah. Kalimah Allah milik umat Islam. Kita kena pertahankan. Semoga kemenangan milik kita. Takbir!!"

"Eh, tapi kenapa bila orang perjuangkan hukum hudud, kau menolak?."

"Kau ni, hukum hudud tu zalimlah.."

..............................................................................................

Itulah kita, gempak gempita seluruh negara, seolah-olahnya kitalah pejuang. Orang berdemonstrasi, kita pun nak berdemonstrasi. Kitalah manusia yang paling hadapan. Kata-kata yang kita keluarkan, peh, berapi-api seperti mahu jatuh langit. Dari pagi hingga ke malam, kita masih gigih berdemonstari. Solidariti untuk Palestin, Mesir, Syiria, Rohinghya, kita paling hebat.Peh!!

Bro, sikit pun tak salah tindakan tu.

Apabila umat islam mahupun bukan Islam mempersendakan agama, kita cukup sensitif. Ibaratnya, jika mereka ada di hadapan mata kita, habis mereka dicincang oleh kita. Beb, mana boleh tahan orang hina agama kita. Suka hati je buat video sambut hari raya dengan anjing. Wei, haram kan anjing tu. Kita akan usaha sedaya upaya agar mereka mendapat balasan yang setimpal. Peh!!

Bro, sikit pun tak salah tindakan tu.

Orang Kristian ingin menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mereka?? Mana boleh jadi. Kita harus perjuangkan dan pertahankan kesucian kalimah Allah. Ya, kalimah Allah milik umat Islam. Kita punya perjuangan cukup murni, agar kedaulatan agama Islam dapat dijaga melalui kemenangan mempertahankan kalimah Allah. Dalam isu-isu lain kita boleh bertolak ansur, tapi dalam isu kalimah Allah ni, bukan main-main. Kita sanggup berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Peh!!

Bro, sikit pun tak salah tindakan tu.

Tarik nafas, lepas. Tarik nafas, tahan. *oksigen..oksigen*. Kfine sabit. Haha..

Anda, bestkan perjuangan umat Islam. Sensitif sungguh umat Islam di negara kita. Semuanya tak nak ketinggalan memperjuangkannya. Tapi sungguh sedih, terlalu sedih, cukup sedih. Kita sertai satu perjuangan kepada satu perjuangan, tapi perjuangan yang sebenar kita terlupa. Kita rasa sudh hebat apa yang kita buat, tapi sebenarnya, ada lagi yang perlu kita ambil berat.

[kredit]

Solidariti untuk palestin, kitalah kehadapan, tapi solat subuh kita? Pukul 10.

Menentang mereka yang menghina islam, kitalah orang kuat, tapi rokok masih menjadi tabiat.

Perjuangan kalimah Allah, kitalah paling lancang berbicara, tapi perlaksanaan hukum Allah kitalah yang menentang.

Menang dalam perjuangan kalimah Allah tidak akan mengubah apa-apa, kalau kalah pun tidak akan berlaku apa-apa. Sekadar orang kristian boleh menggunakannya sahaja. Tak salah nak pertahankan kalimah Allah, tapi akan lebih osem kalau sambil pertahankan tu, DnT tidak dilupakan, rasuah, selewengan ditinggalkan. paling penting syariah islam diamalkan.

Berjuang untuk perkara yang zahir sahaja tidak mencukupi. Usahalah untuk kesenangan kita bersama.

[kredit]


Islam Itu Bukan Pada Kalimah Allah Sahaja..


p/s :: post kali ini, DM agak tersekat-sekat idea. Maaf sekiranya nampak tidak teratur.^^\/

Saturday 7 September 2013

Tips Mudah Berdakwah..

[langit ilahi]
Hari ini, tanpa kita sedari pelbagai perkara yang kita lakukan yang boleh menjerumuskan kita kepada dosa. Dari sekecil-kecilnya hinggalah sedebak-debak dosa, semuanya mudah dilakukan. Iyalah, segalanya di hujung jari anda. Dengan satu klik sahaja, peh, segala-galanya terkeluar. Tapi sebenarnya, cara penyelesaian segala permasalahan ini bukanlah semata-mata kita duduk diam dan mengharap benda-benda alah tu tak pernah wujud dalam hidup kita. Eh, anda ada kayu sakti Harry Potter ke?? Jika tidak ada, anda dan saya perlulah melakukan sesuatu agar setiap detik kehidupan kita terisi dengan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada kejayaan DnT (Dakwah dan Tarbiyah) dalam hidup kita.

Jadi, pada hari ini, saya tidak berniat nak menjatuhkan televisyen plasma 49 inci di kepala anda, (mungkin 29 inci je. Haha). Maka, terkeluar sedikit perkongsian yang inshaAllah bermanfaat buat kita bersama. Insha Allah 5 tips ini mampu diaplikasikan oleh sesiapa sahaja, tanpa perlu kita mempelajari bahasa arab setinggi-tinggi peringkat, mahupun mewajibkan kita menghafal hadis 40 Imam Nawawi (jika sudah hafal, alhamdulillah). Cukup mudah, fleksible untuk anda, saya, Cik Kiah mahupun pemain bola terkenal. Eh. Maka, selamat menikmati..

Senyum comel.

TIPS MUDAH BERDAKWAH.

1) Selitkan dakwah ketika memberikan pujian.

Semua orang di dunia ni, kalau kena puji, mesti akan kembang kempis je hidung, ha, hapa lagi, terus puji kepada si pemuji. Tak tahulah kalau si pemuji tu nak mengipas-ngipas punggung je. Tapi secara normalnya, manusia ni sukakan pujian. Saya? Oh, sila puji sikit. (dalam hati Astaghfirullah). Hehe. Jadi apa kata, ketika anda memuji sahabat anda, selitkan elemen-elemen dakwah dalam pujian anda. Hati yang sedang berbunga-bunga dipuji, tentu akan lebih mudah menerima dakwah yang anda sampaikan.

"Wah, cantiknya kau Shahirah Ayob, pipi gebu, putih-putih melati, merah-merah delima gituh. Kau tahu kalau kita ni jadi isteri solehah, kitalah bidadari syurga yang super duper cantik mengalahkan Victoria Bekam, Angelina Juli dan artis-artis yang kau minat tuh. Kau tahu rambut kau yang cantik ni, kalau ditutup tentu akan lagi cantik, suami pun sayang, dan paling penting Allah lagi sayang. blablabla......."

2) Menjadi pendakwah di padang bola.

Okey, ini saya tujukan kepada lelaki, pria, jejaka, ikhwah, brothers dan lain-lain yang berkaitan. Saya tahu anda suka main bola sepak, apa kata anda terapkan dakwah sebelum, ketika dan selepas anda dan rakan-rakan beraksi di padang bola.

Sebelum :
Anda mengajak rakan-rakan sepasukan anda menunaikan solat hajat mendoakan agar dipermudahkan urusan ketika bermain bola dan menang perlawanan yang anda sertai. Anda boleh juga mengajak mereka berdoa bersama-sama. Sudah pastilah jika anda yang mengajak, anda yang seafdhalnya mengetuai bacaan doa.

Ketika :
Anda dihendaki memakai seluar yang lebih panjang dengan erti kata lain menutup aurat. Mungkin selepas rakan-rakan anda dan penonton melihat anda memakai seluar yang menutup aurat itu, hati mereka akan terdetik untuk melabuhkan seluar mereka juga sama seperti anda. Yelah, tak pernah pun mana-mana kajian membuktikan seluar pendek adalah faktor kemenangan pasukan bola sepak.

Selepas :
Jika perlawanan yang anda sertai meperoleh kejayaan, apa lagi sujud syukurlah di tengah padang bola tu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah taala atas kejayaan itu.

Tak nampak riyak ke DM?

Anda berniat untuk riyak ke. Niat anda sudah semestinya ikhlas lillahi taala. Tapi, mereka yang melihat anda, pasti akan terkesan dengan apa yang anda lakukan.

Mudah bukan?

3) Berpakaian pun boleh berdakwah.

Okey, ini saya tidak menipu mahupun temberang anda. Anda tidak perlu pergi ke masjid mahupun menyertai mana-mana jemaah tabligh. Dengan pakaian anda, sudah membolehkan anda untuk berdakwah. Pakaian adalah perkara pertama yang orang akan nampak apabila bertemu anda.

Bagi perempuan, anda hanya perlu melabuhkan tudung anda, melonggarkan sedikit baju anda, dan memakai sarung kaki. Melabuhkan tudung bukanlah bermakna anda dikehendaki memakai tudung labuh sampai ke kaki. Tapi jika anda ingin pakai tudung labuh, okey, dipersilakan, Memakai tudung yang bertepatan dengan syarak sudah memadai untuk melaksanakan projek DnT ni. Di samping anda berdakwah, anda akan mendapat manfaat buat diri anda sendiri. Bukankah yang tetutup itu indah? Senyum.

Bagi lelaki pula, apa kata anda pakai tshirt dakwah yang osem yang boleh di dapati di internet mahupun kedai-kedai yang berhampiran. Tshirt yang cukup simple, bertulis 'Jom Solat Berjemaah', 'Jom Jaga Aurat' dan lain-lain quot. Insha Allah mereka yang membacanya akan terdetik hati untuk berubah.

4) Ulang kaji berkumpulan ada sesi usrah.

Yang ini, khas ditujukan buat para insan yang bergelar pelajar. Mereka yang masih gigih membawa buku tebal ke hulu ke hilir dengan hasrat untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang berterbangan warna (sila baca : flying colour). Saya pasti golongan-golongan ini pasti berminat mengadakan ulangkaji berkumpulan. Ha, apa lagi, wujudkan sesi usrah ketika itu.

Misalannya, ketika anda mengulangkaji matapelajaran kimia, anda dengan muka comel dan bergaya menyebut, "Eh, ikatan hidrogen ni kuat kan. Macam tu jugalah ukhuwah yang kita bina lillahi taala ni. Pernah dengar hadis yang 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari akhirat nanti. Dan yang paling best, mereka yang berkasih sayang kerana Allah tergolong dalam 7 golongan ni. Insha Allah, 'ikatan hidrogen' kita ini berkekalan ke syurga. Uhibbukum fillah."

Ataupun biologi. "Wei, kita ni hebat kan. Dulu, waktu berjuta-juta sperma berebut nak bersenyawa dengan satu ovum, Allah pilih satu je. Akhirnya sperma dan ovum tu mengalami mitosis dan membesar mejadi kita. Peh, hebat kan Allah ni. Maknanya sebelum kita menjadi zigot lagi, kita sudah menjadi insan terpilih. Kitalah khalifah terpilih tu kan?". Menangis terharu.

[kredit]


5) Pendakwah Alam Maya

Okey, yang ini mungkin tidak perlu saya bercerita panjang. Anda sendiri sudah arif mengenai perkara ini. Apa yang saya lakukan ini juga merupakan antara usaha saya untuk berdakwah. Berbelog. Mungkin bagi mereka yang ada belog, youtube channel, facebook, twitter, myspace (ha?), friendster (apa tuh?) dan tok nenek bagai laman sosial, anda tahu, anda boleh menggunakan benda-benda itu untuk meluaskan dakwah anda. Segalanya sudah terbukti, kehadiran Angel wears Gucci, Hlovate, Mat Luthfi, Budak Tomato, Dai'e Muda (okey ini poyo) menggambarkan laman-laman ini mampu menjadi wadah dakwah pada zaman sekarang. Saya tahu anda jauh lebih expert daripada saya. So, salurkan ke'expect'an anda di jalan yang betul.

Bukannya saya minta anda post panjang-panjang sampai orang penat nak skrol ke bawah (macam blog ni.), cukup sekadar anda kongsi mana-mana pautan yang ada isi dakwah di dalamnya. Itulah gunanya butang kongsi di laman Facebook, ataupun anda reTweet mana-mana quot yang boleh menjadi pedoman kita bersama. Paling simple dakwah yang pernah saya jumpa di Facebook adalah, apabila sahabat menulis status "SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar".. Lihat, orang yang membacanya turut dapat berzikir bersama. Mudah bukan?

.............................................................

Ha, macam mana? Segalanya cukup ringkas, tapi jika anda istiqomah melaksanakan 5 tips yang mudah ini, ditambah dengan dakwah-dakwah yang anda olah sendiri insha Allah akan ada satu perubahan yang akan berlaku. Jika perubahan itu tidak berlaku pada mad'u kita, cukuplah perubahan wujud dalam diri kita sendiri.

Saya hanya menyatakan cara mudah untuk berdakwah, namun saya tidak mampu nak bercakap berdakwah itu mudah. Saya tidak boleh menjanjikan jalan DnT adalah satu jalan yang dihamparkan karpet merah dan dihiasi dengan lampu liplap liplap. Dan kita pelu ingat hidayah bukan milik kita mahupun Encik Penceramah Selebriti, ataupun penyanyi nasyid, tetapi milik Allah taala. Kita mungkin boleh usahakan, tetapi kesannya Allah yang tentukan. Paling penting, jangan berputus asa berdakwah, dan teruskan berdoa agar hidayah Allah itu menyapa mad'u kita.

[kredit]
Senyum nampak gigi

HIDAYAH ITU BOLEH TIBA DIMANA SAHAJA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...