Wednesday 25 May 2016

Nak Pi Mana?

Assalamualaikum wbt.

Terlalu lama jari ni tidak menaip dengan penuh kesungguhan di dalam blog yang hidup ala ala ni (baca : hambar). Hampir dua tahun tidak memerahkan idea dan meluangkan masa untuk berkongsi cerita dan rasa. Berhabuk-habuk blog ni. *pegang bulu ayam*.
Siap dah tukar nama blog lagi. Acah-acah nak rebranding, alih-alih semangat untuk menulis hilang begitu sahaja dan apabila dicari masih tidak dapat dikesan di dalam radar kehidupan. Semoga Allah mengembalikan semangat penulisan itu dalam diri, supaya ada lah sesuatu yang boleh disumbangkan kepada agama; nak mengharapkan diri sendiri semata, rasa macam tidak ada apa-apa nak dibawa menghadap Dia.

Hari isnin lalu, dalam kuliah psikologi komunikasi, pensyarah saya ada berkongsikan sesuatu yang benar-benar terkesan dalam ingatan saya. 

"Kita hanya ada dua pilihan. Nak ke syurga atau neraka. Tidak boleh berada di tengah-tengah. Nanti bila dah di syurga, kita tak boleh nak bagi dan kongsikan dengan orang-orang di neraka buah-buahan, minuman yang kita perolehi di surga. Dilarang..." (olahan)

Ketika itu, saya terdiam dan terfikir. Adakah saya yang bakal menikmati segala ganjaran indah di syurga dan dilarang memberikan sedikit pun kenikmatan itu kepada ahli neraka; ataupun sayalah ahli neraka yang akan meminta dan merayu untuk merasai segala keindahan syurga yang orang lain rasa? Na'uzubillah. Sumpah tak sanggup, dan sememangnya berharap agar tidak sesekali menjadi golongan yang kedua. 

Selepas hari tesebut, saya asyik berfikir mengenai syurga neraka.

Bila akan ditentukan syurga neraka tu?

Kenapa rasa macam dah lama sangat menanti syurga?

Cukup ke dengan apa yang saya buat hari ini, menjadi tiket untuk ke syurga?

Boleh ke kita hari ni yang hidup beramai-ramai dengan keluarga, kawan-kawan, akan turut bersama beramai-ramai reunion kat syurga?

Bahkan sampai tahap terfikir, sungguh ke akan ada syurga dan neraka nanti?

Persoalan yang saya rasa tidak tahu nak dijawab bagaimana, tidak tahu siapa yang boleh menjawab soalan ini.
Sehinggalah tadi. 

Dalam kuliah akhlak dan tasawuf, seorang pensyarah wanita yang lebih mesra kami panggil 'ustazah' bercerita mengenai tarekat, ahli sufi, ilmu syariat, ilmu hakikat, etc. Dan beliau turut menyebut mengenai dunia, akhirat dan jalan menuju syurga yang membuatkan ingatan saya ligat mengembalikan memori isnin yang lalu. Mungkin boleh tanya pendapat ustazah. Saya berbicara sendiri.

Selepas habis kuliah yang terakhir hari ini, saya pergi berjumpa dengan ustazah. Menunggu pelajar-pelajar perempuan berjabat tangan salam meminta maaf (biasalah kuliah terakhir), mengambil gambar, selfie sedas dua. Bila keadaan semakin tenang dan ustazah telah selesai urusan, saya mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan beliau. Sambil berjalan beriringan dengan beliau ke bilik bliau, saya mulakan perbualan.

"Ustazah, saya nak tanya pendapat ustazahlah."

"Okey, apadia"

Lalu saya bertanyakan beliau apa yang telah saya taip di atas (rujuk atas).

Wajah ustazah tampak tenang, dan tersenyum. 

"Dunia ni sekejap je. Selepas dunia, ada alam barzakh, kemudian malaikat meniupkan sangkakala yang pertama untuk mematikan manusia dan sekelilingnya, sangkakala kedua untuk hidupkan kembali manusia. Ketika dibangkitkan di padang mahsyar, kita tak sempat nak cari orang lain, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Kemudian, dihisab, ditimbang amalan, meniti titian sirat akhir sekali, baru menuju ke syurga atau neraka. Padang mashyar bukan macam sehari dua kita di dunia. Lama. Sehari di mahsyar seolah-alah 50 ribu tahun di dunia

Tapi kita sibuk menghabiskan masa di dunia seolah-olah dunia yang lama. Padahal, sekejap sangat dunia ni."

Saya terdiam.

"Ustazah, kadang saya terfikir, ulama'-ulama', para sahabat, amalan mereka, ya Rabbi hebat, terlalu layak untuk ke syurga. Tapi saya, kita, punya amalan macam hidup segan mati tak mahu. Ke syurga ke nanti?

"Amalan kebaikan boleh menjadi tiket kita ke syurga. Tapi ada ulama' kata, dengan kebaikanlah yang akan bawa kita ke neraka. Dengan kejahatanlah yang akan bawa kita ke neraka."

Saya aneh, "Maksud ustazah?"

"Dengan melakukan amal kebaikan, tapi penuh dengan riyak, seolah-olah diri terlalu sempurna, memandang orang lain seolah kita sahaja yang ke syurga. Tapi dengan melakukan kejahatan, kemaksiatan, tapi ikuti dengan keinsafan, taubat, itu yang akan membawa kita menuju Tuhan. Permulaan kehidupan kita tidak menjamin bagaimana kita berakhir.

Sebab itu banyakkan berdoa agar kita diakhiri dengan pengakhiran yang baik. Sakaratul maut ni perit sangat. Sakit. Seperti ditusuk pedang berkali-kali. Semoga pengakhiran kita dengan sebaik-baik pengkhiran, meninggal dunia ketika menunaikan haji, sedang berwudhuk, solat, baca quran. Dalam keadaan ketaatan kita kepada Allah."

[kredit]

Rasa tenang mendengar bait-bait daripada beliau.

"Tapi macam mana kita nak istiqomah. Hari ni bila rasa nak jadi baik, sungguh-sungguh buat kebaikan. Esok lusa, lagho balik."

Beliau tersenyum lagi, sambil menanggalkan kaca mata beliau.

"Sebab itu kita kena berdamping dengan sahabat-sahabat yang baik, yang boleh membawa kita kepada ketaatan. Selain itu, ulama' ada ajar, banykkan puasa sunat. Kalau waktu puasa apa kita rasa?"

"Kita rasa penat, letih, tak nak buat apa-apa."

"Kan? Kita rasa nak berehat je. Sebab itu kena banyak puasa sunat isnin khamis. Dan rajinkan diri membaca al-ma'thurat. Lepas subuh atau lepas asar. Dalam ma'thurat ni banyak doa-doa yang baik untuk kita bacakan. Luangkan sedikit masa."

Tidak, saya berkongsikan pengalaman hari ini bukan untuk rasa diri sudah menjadi lebih baik, tapi nak ceritakan betapa masih kita berada dalam kekurangan. Syurga yang Allah dah janjikan kepada orang beriman terasa terlalu jauh. Padahal itu sahaja tempat yang abadi dan hakiki.

Dalam entri yang cukup serius ini, tanpa sebarang humor, saya nak ajak kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk memikirkan bagaimana keadaan hari selepas hari-hari kita di dunia.

Semoga kita sama-sama dapat kembali bertemu di sana. Sungguh! Saya terlalu ingin bersama anda di sana!

[kredit]
"Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, kelak Kami akan masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalam (syurga itu) selama-lamanya. Allah telah membuat janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"(QS An-Nisaa : 122)
 
-Brader-




No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...