![]() |
[kredit] |
Anda pernah berada dalam situasi ketika kanak-kanak di bulan Ramadhan. Ketika anda berpuasa, atau ayat yang lebih tepat, anda berjinak-jinak mahu berpuasa penuh kerana ingin mendapat duit raya dengan banyaknya daripada keponakkan. Ke macam mana? *batuk kecil*. Tapi ada satu masa anda berpuasa tapi pada awal pagi, anda tidak bersahur. Meskipun Ibu anda mengejut dengan ganasnya, tapi anda masih memilih untuk bersatu dengan selimut daripada makan pagi. Anda yang masih setahun jagung dalam dunia berpuasa tidak terlalu ambil kisah dengan afdalnya bersahur itu.
Di pagi hari, dibawah terik mentari, dengan perut yang kosong tidak terisi, perut anda mula berkeroncong berbunyi. Tandanya perut ada perlu diisi, tetapi waktu berbuka masih lambat lagi. Anda bertahan, dan terus bertahan. Peti ais di dapur menjadi persinggahan. Anda menguak pintu peti ais, meninjau makanan apa yang ada, oh, ada ayam goreng sejuk beku panas dan pedas (sila baca : hot and spicy), ada nugget ayam. Peh, lazat. Kalau digoreng pun sodap! Eh, tapi waktu berbuka puasa masih belum tiba.
Anda mengambil bau makanan di dapur. Anda tidak habis-habis bertanya kepada bapa anda, "Ayah, saya dah boleh makan ke?", "Ayah, lambat lagi ke waktu berbuka?", "Ayah, boleh tak ayah azan sekarang?". Anda jadi tertekan apabila ibu anda sedang memasak di dapur, juadah yang bukan sebarangan. Ayam percik! Peh, kelazatannya terserlah. Anda sudah tidak mampu bertahan. Semua yang berada di sekeliling mendesak anda. Ditambah dengan si adik kecil anda sedang seronok makan karipap, yalah dia masih kecil, bukannya berpuasa. Anda tidak kira, anda mahu makan, perut anda perlu diisi. Akhirnya anda makan sebelum azan.! Maka batallah puasa anda pada hari itu. Okey, tamat kisah pengalaman saya ketika berpuasa. Ehem.
Ewah, panjang sungguh kisah di atas ni. Penuh dengan mood debaran, ceh. Tetaapi sebenarnya terdapat satu maksud yang saya cuba sampaikan. Kisah di atas hanyalah satu analogi, tapi kisah ini sangat dekat dengan hidup kita. Analoginya juga acap kali berlaku dalam kehidupan kita. Adakalanya kita tidak pernah perasan kerana inilah yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Mungkin juga kita perasan, tetapi kita hanya pandang enteng sahaja, iyalah orang lain pun buat juga. Jadi perkara ini menjadi perkara biasa dalam kehidupan.
Eh, nampak serius saja DM ni, apakah?
Okey, tarik nafas sebentar dan lepas. Agak berat sebenarnya untuk kita mengubah pemikiran masyarakat kita yang sudah lama dimomokkan dengan ideologi sebegini buat berapa kurunnya. Jika kita pandang dari sudut melayunya, sebenarnya perkara ini bukanlah perkara yang enak dipandang kerana melanggar norma ketimuran masyarakat melayu. Tetapi entah mengapa, orang melayu juga sudah terpengaruh dengan fahaman sebegini. Menjadi biasa. Yang tidak melakukannya dianggap tidak normal, kampungan, tidak ada kehidupan, bosan, buruk, hodoh, gemuk!
Jangan emo boleh? Okey, terus pada poinnya.
Baiklah, analogi puasa ini adalah analogi yang dikaitkan dengan bercinta sebelum kahwin. Klise bukan? Sebenarnya saya bukanlah orang yang terlalu suka bercakap mengenai cinta. Tapi bagi saya, penekanan mengenai HARAMNYA CINTA SEBELUM KAHWIN ini sangat perlu dilakukan sepanjang masa, dan diingatkan. Manakan tidak ikhwah akhawat yang kencang berusrah pun ada yang terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat ini. Sungguh!
Cinta itu fitrah, samalah juga dengan makan. Makan itu fitrah, tapi berbalik pada analogi yang telah saya berikan tadi, waktu untuk makan belum tiba kerana lambat lagi untuk berbuka puasa. Tapi kita desak firah itu dengan tengok-tengok makanan, ambil-ambil bau, tengok-tengok makanan dalaman peti, lama-kelamaan kita jadi tak tahan. Akhirnya nafsu yang mengurus fitrah, jadilah kita makan sebelum tiba waktu makan. Begitulah cinta yang juga fitrah. Allah telah tetapkan tarikh, masa dan waktu jodoh seseorang itu tiba. Tapi kita tidak sabar, kita desak fitrah cinta dengan bercinta sebelum tiba masa. Mesej tak kira masa, telefon bual bicara, berdating berdua-dua. Semuanya menyebabkan fitrah kita itu tidak tahan, akhirnya nafsu yang mengawal fitrah, dan timbullah perasaan nak kahwin awal atau nak buat bermaksiat.
Itulah kesannya apabila fitrah ini tidak diurus dengan baik. Oh, ya. Saya tahu, anda yang berpendapat kahwin muda ni dapat elakkan zina, maksiat dan kelalaian. Pertama, maafkan saya. Saya langsung tak menafikan perkara tersebut. Dan saya juga langsung tidak menghalang perkahwinan muda. Ya, lebih baik anda berkahwin daripada berdua-dua dengan yang haram dengan anda, daripada berhubung tanpa ikatan baiklah dipercepatkan.
Dan bagi saya jika mampu dan bersedia, maka kahwinlah. Tapi apa kayu ukur kemampuan dan kesediaan diri untuk berkahwin? Adakah cukup apabila kita ada duit, itu tandanya kita bersedia? Adakah apabila kita dapat keputusan yang cemerlang gemilang dalam peperiksaan, itu tandanya kita sudah bersedia untuk berkahwin? Adakah dengan restu ibu ayah, sudah cukup untuk kita berkahwin? Apa sebenarnya pertanda kita sudah bersedia untuk melayari bahtera rumah tangga ini?
![]() |
[kredit] |
Jawapan saya mudah, pertama ukur apa situasi anda dan perkahwinan pada ketika ini. Adakah sunat? Adakah wajib? Adalah harus? Adakah makruh? Adakah haram? Timbang tara hukum yang telah digariskan para ulama' dengan situasi anda. Jika wajib, maka cepatkanlah, tapi kalau haram? Fikir baik dan buruknya dahulu sebelum membuat pertimbangan. Selain itu juga, kesediaan untuk berkahwina adalah sejauh mana kefahaman kita dengan ilmu agama yang boleh memimpin perkahwinan kita ke arah yang baik.
Cara ukurnya adalah sejauh mana kita dapat mengaplikasikan ilmu yang kita ketahui dalam kehidupan seharian kita. Contohnya ilmu kita mengenai aurat. Kefahaman mengenai aurat itu dapat kita ukur melalui kita berjaya menutup aurat dengan sempurna. Begitulah dalam alam perkahwinan, ilmu untuk melayari bahtera perkahwinan dapat kita ukur apabila yang pertamanya kita dapat memandu hidup kita untuk hidup berlandaskan syariah. Macam mana nak bimbing isteri jika diri sendiri pun tak mampu jaga.
Buatlah pilihan yang bijak. Perkahwinan ini satu medan.. Analoginya dalam permainan bola sepak, pemain bola perlu mempunyai persediaan yang cukup untuk memastikan mereka berjaya dalam perlawanan yang mereka hadapi. Jika kurang persiapan, kebarangkalian untuk menang menjadi sedikit. Tetapi saya tak nafikan masih anda yang berjaya walaupun persiapan nya kurang. Begitulah perkahwinan, satu medan, jika kurang persiapan, kebarangkalaian untuk rumah tangga bergolak sangat tinggi, dan saya tak nafikan ada juga yang berjaya perkahwinannya.
Di usia yang masih belasan tahun ini, saya menyeru anda yang sebaya dan mungkin tua, dan mungkin muda daripada saya untuk berfikir sejenak. Adakah kita mahu perkahwinan yang kita bina ini hanya bertahan sehari dua, ataupun mahu kekal selamanya?. Jodoh Allah tidak pernah tertukar. Siapkan diri, agar bersiap sedia menghadapi pejuangan perkahwinan. Janji Allah itu pasti! Jangan pernah ragui.

p/s : sebenarnya artikel ini saya tulis berdasarkan ceramah Ustazah Fatimah Syarha. Maaf, saya tidak berminat pun mengenai soal cinta dan kahwin ini. Cuma sekadar memberi peringatan., Selain itu, terlalu banyak lagi yang ingin dikongsi. Dengan penulisan marhaen di atas ni, sebenarnya tidak cukup untuk memaham semua mengenai perkara ini. Rajin-rajinlah baca pendapat ulama' berkaitan isu ni. Tambahan, harap tidak terlalu tumpu dengan bab-bab cinta, kahwin ni. Islam bukan hanya ini. Tambah ilmu perundangan islam. Sekarang ni isu tu sangat memerlukan kefahaman anak muda. Moga Allah jaga!
No comments :
Post a Comment