Saturday, 3 May 2014

Ikhwah Jambu..

[kredit]
[Tulisan kecil : Ini adalah tulisan saya yang merupakan pendapat peribadi saya. Bukan bersikap prejudis tetapi saya cuba memahami situasi yang berlaku. Jika anda adalah perempuan, anda boleh menukar ikhwah kepada akhawat. Sonsangkan sahaja jantina dalam artikel ini. Saya menggunakan ikhwah kerana saya juga ikhwah. Mudah untuk bercerita. baiklah, selamat membaca. vavavum!]

Dia pemuda biasa, baru mencecah 22tahun. Berkulit sawa matang lelaki Asia, berdagu runcing, wajahnya bersih meskipun kelihatan sedikit parut jerawat, berhidung mancung, kening separa tebal, bibir yang merah pekat mengalah bibir anak gadis berlipstick, eh, dan ketika dia tersenyum, jelas kelihatan lesung pipit yang dalam. Berketinggian 178 cm dan berdada bidang menambahkan lagi pakej menjadi next top model. Ehem. Ringkas tapi tampan.

Sebelum ini, sudah lebih 6 anak gadis yang menjadi teman wanitanya. Almaklumlah, rupa ada, petik jari beratur orang mengambil nombor mengambil giliran untuk keluar bersamanya. Tapi dia tidak pernah merasai kepuasan bercinta sedemikian. Bercinta dan putus menjadi rutin harian baginya, mudah untuk dia katakan, dia cepat bosan ; CINTA PAKAI BUANG.

Tetapi semenjak dia melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pendidikan, ada seorang sahabat telah memitamkan dan mencampak dirinya ke dalam satu persekitaran yang asing bagi hidupnya. Tapi dia seronok, mungkin sudah dapat mengadaptasi dengan sekeliling. Ya, persekitaran yang tidak ramai orang dapat memiliki; bi'ah solehah. Semuanya bermula selepas dia dibulatan gembirakan. Gara-gara seorang sahabat yang berjaya mengikatnya dengan dakwah fardiyah, dia dengan rela hati mengikut gerabak ini.

Lantas, dengan persekitaran sedemikian, sudah pasti hidayah datang memeluknya. Sungguh ketara perubahan yang berlaku dalam dirinya. Daripada kasanova melayu buaya kepada ikhwah sopan bertatasusila. Siapa sangka anak muda yang memiliki wajah yang tampan dapat berubah 360 darjah akibat layu dalam pelukan hidayah. Semua milik Allah.

Semua tampak indah, bulatan gembira menjadi rutin harian, qiamullail menjadi permainan, al-Quran menjadi ulangan, zikrullah menjadi siulan. Hebat! Namun, syaitan tidak pernah berputus asa menyesatkan anak cucu adam sehingga hari kiamat. Apabila berada dalam persekitaran yang ceria (bak kata Inche Gabbana arnab comel gebu berlari di padang bunga dafodil), makin berasap syaitan dan kuncu-kuncunya. Makin tidak senang duduk dibuatnya. Makin panas punggung jadinya. Maka, seribu macam strategi dirangka, pelbagai alternatif bakal dilaksana. Misi yang jelas, Mahu Menyesatkan Kembali Ikhwah Jambu!

Begitulah sedikit prolog mengenai ikhwah jambu. Seperti yang saya sudah gambarkan di atas, lebih kurang begitulah ciri-ciri ikhwah jambu yang saya maksudkan. Ataupun anda sendiri boleh mereka watak ikhwah jambu berdasarkan pemerhatian anda di sekeliling, dan mungkin anda sendiri merupakan ikhwah jambu yang saya cari? Peh, lejen!

Saya dan ikhwah-ikhwah lain berjaya juga menarik pemuda-pemuda yang saya kira ada rupa untuk masuk ke dalam gerabak DnT ini. Mungkin mereka pilihan Allah untuk bersama-sama memeriahkan landasan ini dengan wajah mereka yang jambu. Iyalah, jalan dakwah ini milik semua orang, tua muda, miskin kaya, tampan dan kurang tampan, jambu dan mangga. Eh?

Dan di bahagian akhir prolog di atas, bagaimana syaitan tidak pernah duduk diam. Ikhwah jambu yang berhijrah mahu kembali disesatkan. Pada kali ini, ujian yang mereka hadapi bukan daripada wanita berambut bebas (baca : free hair), mahupun gadis seksi, tetapi ujian yang Allah berikan kepada mereka dalam bentuk muslimah bertudung labuh. Nampak seperti prejudis, tapi itulah realiti. Wanita sememangnya satu senjata mudah untuk melemahkan lelaki.

Pernah satu ketika, ada seorang ikhwah yang saya kenali. Wajahnya memang jambu, baru sahaja menyertai saya dalam gerabak ini, setelah itu, dia menerima banyak mesej/ wasep dan lain-lain media namun bukan dalam bentuk ngurat cara lama seperti, "Nak berkenalan boleh?" ataupun, "Awak dah berpunya?" tetapi melalui persoalan-persoalan agama, misalannya, "Macam mana nak dakwahkan sahabat kita yang tak tutup aurat?". Kemudian ikhwah membalas dengan panjang lebar kebetulan dia baru sahaja mendengar taujihat murabbi mengenai aurat. Disebabkan dia ikhwah, maka muslimah itu membalas, "Syukran, akhi (siap ada emotikon senyum nampak gigi dan ibu jari tanda suka).". Tampak biasa, lantas ikhwah membalas, "Afwan. (diberi emotikon, ikhwah juga tidak mahu kalah, dibalas emotikon yang lebih comel).

Tak mustahil perbualan itu akan berulang kembali dengan persoalan-persoalan agama yang lain daripada muslimah itu. Lelaki mana tak terusik hatinya jika menerima layanan sedemikian oleh perempuan. Hati mana tak berbunyi jika diberi senyuman oleh jantina berlainan meskipun senyuman melalui wasep mahupun viber. Walaupun dia ikhwah!

Kisah lain pula, ada ikhwah yang juga sama jambu, baru sahaja berubah. Sudah pandai menutup aurat dengan sempurna, tidak lagi berboxer di khalayak, sudah rajin berjemaah di masjid, kencang berbulatan gembira. Semuanya kerana dirinya sedar akan ajal bisa tiba bila-bila masa. Maka, tanpa berlengah panggilan hidayah disahut, Yang Maha Kuasa menjadi tujuannya! Namun seperti biasa, ada yang menggangu. Timbul kisah kononnya perubahan ikhwah itu disebabkan untuk menarik perhatian akhawat menawan. Kononnya\a, untuk kelihatan baik di mata akhawat. Kononnya, untuk menjadi menantu pilihan oleh murabbiah yang ada anak usrah yang cantik rupawan. Hamboih!

Kasihan, seribu kali kasihan. Ikhwah itu baru sahaja mengenal erti tarbiyah, baru sahaja berjinak dunia dakwah, sudah terjelopok dalam kesusahan sedemikian. Baru bertatih-tatih menuju hidayah Allah, sudah dilambung derita yang tak kunjung sudah. Hatinya terusik, keikhlasannya dipertikai. Ya, ketika ini, tugas ikhwah-ikhwah lain menjadi besar. Mengembalikan semangat ikhwah itu yang semakin pudar dek teruji dengan perempuan. Ya, usaha itu perlu dilaksanakan dengan segera. Sebelum menjadi lebih derita.

[kredit]

Kisah ikhwah jambu yang ketiga. Sering menjadi sebutan akhawat mahupun bukan akhawat.
"A**** ni tampan wei, hari tu jadi imam, merdu sangat-sangat. Aku cop dia dulu ya.",
"E*** tu makin rajin ke surau, rupa pun ada, akhlak pun mulia, dia milik aku!,",
"A*** M**** tu hafal al-Quran eh? Patutlah sejuk je aku tengok wajah dia, bersinar-sinar shine bright like a diamond camtuh. Dia suami aku!," Eheh. Sampai tahap sedemikian diri ikhwah-ikhwah itu disebut dari bibir ke bibir. Ada tu yang terpaksa berhelah menyatakan yang dia sudah pun bertunang supaya dia dapat menghentikan gangguan-gangguan yang boleh menggangu hatinya untuk mengingati Tuhan. Allahu Rabbi..

Saya tidak tahu siapa yang salah. Yang pastinya saya tidak berminat ingin mengetahui siapa salah. Mungkin itulah ujian yang dihadapi oleh ikhwah jambu. Ujian yang mereka kena tempuhi setelah mereka mengangkat tangan berikrar berjanji sehidup semati dalam gerabak ini. Mereka juga sudah diingatkan jalan dakwah bukan jalan untuk berjalan-jalan, dihiasi dengan permaidani dan hamparan. Pesanan saya kepada muslimat, akhawat dan perempuan di luar sana, mohon jangan digugah persaan ikhwah-ikhwah seperti ini. Mereka masih lemah, jangan kerana anda, hidayah yang menyapa mereka, berlaku pergi begitu sahaja. Saya mohon.

Tahniah buat anda yang sudah mula diuji ketika batu bertapak di jalan ini. Itu tandanya Tuhan sedang menguji keikhlasan hati. Terus tsabat dalam perjuangan, tegakkan hati. Jaga hatimu, engkau sudah beriltizam dalam gerabak ini. Kuatkan semangatmu, kerana engkau adalah ikhwah dan kau juga jambu dan engkaulah si Ikhwah Jambu!

[kredit]


p/s : Sekian lama tidak menulis, draft yang dah lama tertangguh. Dalam fikiran ni dah banyak kisah nak dicoretkan. Alhamdulillah selesai sudah pengajian. Doakan dalam tempoh cuti ini, blog ni tidak akan sunyi lagi. Mohon doa! :)

1 comment :

waniez said...

Allahu :') syukran ubai atas entry nih. sentap seketika. and sori sebab selama nih susahkan ubai dengan perkara yang tak sepatutnyaa. asif jiddan :')

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...