Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Friday, 25 July 2014

Agenda Konspirasi.. Teng..Teng..Teng..

[kredit]
Alhamdulillah thummal hamdulillah. Setinggi kesyukuran kepada Allah ta'ala kerana pada hari ini, kita masih lagi diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan di muka bumi Allah serta masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. *ayat klise pengerusi majlis ceramah*. Begitulah kehidupan seharian kita, dalam sedar tak sedar, pejam celik, pejam celik, buka mata, hari ini sudah 27 Ramadhan. Masha Allah, begitu pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Dan dengan mata dan muka masih terpinga-pinga, kita bakal meninggalkan madrasah, universiti, kolej, kelas tutor yang mendidik kita meraih piala takwa ini.

Jika dalam permainan bola sepak, kita sudah pun masuk pada separuh masa kedua, dan dalam separuh masa kedua itu, masa berbaki 7 peratus daripada masa keseluruhan. (nota kaki : pandai-pandai andalah kira sendiri 7 peratus tu banyak mana). Waktu ini adalah waktu yang paling getir dan mendebarkan jiwa setiap pemain. Semua berusaha gigih untuk memastikan kemenangan diraih. Lebih-lebih lagi, apabila, separuh masa pertama, tidak ada gol yang diperolehi, bahkan gol pihak lawan lebih banyak seperti permainan Jerman dan Brazil di separuh akhir Piala Dunia. Wah! Saya yakin dan percaya, jika berlaku situasi ini dalam permainan bola sepak, ada 3 perkara sahaja yang berlegar dalam fikiran pemain, pertama, akan berusaha lebih gigih untuk menang, kedua, sudah putus asa, redha, pasrah, dan perasaan 'aku tunggu perlawanan akan datang jelah' pasti akan muncul serta terasa nak terkencing.

Begitulah juga kita dalam merebut piala takwa ini, di awalnya kesungguhan berkobar-kobar pom pam pom pam, di tengahnya mula lesu, dan kini di bahagian ketiga. Tambahan, dalam keseronokan kita berada di pesta ibadah ini, pelbagai isu tenggelam timbul muncul tanpa kita sedari. Isu Palestin yang semakin menjadi-jadi, kezaliman Rejim Zionis sudah tidak dikawal lagi, isu picisan CDM pun sibuk diperkatakan meskipun tidak ada kepentingan pun untuk dihebohkan, dan beberapa hari lalu, isu yang meruntun jiwa, meluluhkan perasaan, dalam keadaan MH370 masih tidak ditemui, MH17 pula menjadi bualan dunia. Allahu.

Maka, pelbagai konspirasi muncul, yang sohih tu tidak mengapa, tapi yang dibuat-buat itu yang menjadi masalah. Namun begitu, entri kali ini, bukanlah untuk menghuraikan mengenai konspirasi yang ditimbulkan daripada MH17, tapi agenda konspirasi 10 Ramadhan terakhir yang berlaku di kalangan masyarakat kita sejak sekian lama. Boleh jadi inilah yang menjadi darah daging kita dari generasi ke generasi. Mungkin ada positif dan negatif. Ada sisi baik dan buruk. Akan kita bersama-sama rungkaikan. Bersedia? Ayuh kita telusuri bersama!

1) Lagu Raya.
Malaysia memang dikenali dengan industri seni tanah air yang cukup hebat. Barisan artis tersohor negara bukan hanya popular di dalam negara, bahkan femes di seantero dunia. Sudah berkurun lama, lagu raya menjadi satu penyeri di Aidifitri dalam kalangan masyarakat kita, jadi, langsung tidak hairan untuk kita mendengar lagu raya didendangkan apabila Aidilfiti semakin menjelang tiba. Tetapi yang menjadi masalahnya, ada golongan yang lagu raya ni menjadi siulan semenjak 1 Ramadhan, itu masih boleh tahan, tapi yang menjadi kritikal apabila, lagu raya ini menjadi zikir wajib harian di waktu lapang dan waktu senang. Sampaikan nada jam loceng telefon bimbit menggunakan lagu Sesuci Lebaran, nada dering pemanggil (baca : caller ringtone) lagu Satu Hari Di Hari Raya, nada dering lagu Suasana Hari Raya. Lagu yang dimain di rumah? Herm, kalau tidak ada sekurang-kurangnya 4, 5 buah album kompilasi lagu raya memang tak sah! Silap hari bulan, lagu raya lagi banyak dialunkan berbanding alunan ayat suci al-Quran. *hashtag sentap.

2) Kuih Raya.
Ini bahagian yang menjadi kegilaan para ibu, makcik-makcik, akak-akak sekalian. Memang wajib, saya tekankan WAJIB untuk bersengkang mata untuk menyiapkan kuih raya. Tidak cukup dibuat sendiri, tempahan di instagram, jiran sebelah. Katanya, tak meriah jika hari raya tidak berkuih raya. Itu bukanlah masalah besar. Tapi yang agak pelik, apabila, kuih raya ni jadi juadah wajib harian. Sahur, tart nenas, berbuka cornflakes madu, moreh kuih batang buruk, makan lewat malam (baca : supper) kuih bahulu. Pendek kata, tak start takbir raya, kuih raya dah habis 3 balang. Wah. Itu masih lejen tahap basa-biasa, yang lagi epik, apabila bangun tidur jam 10 pagi, buka balang kuih sarang semut, ngap. Woi, puasalah! Pfffttt.

3) Baju Raya.
Ha, yang ini, kalau terasa hati, mohon maaflah ya dik. Tak berniat nak kasar-kasar. Kebiasaannya kes baju raya ni, banyak berlaku kepada perempuan, lelaki ada juga, tetapi kurang jika dibandingkan kedua jantina. Lelaki mudah, baju melayu, pakai kopiah/songkok, seluar slack/jeans. Siap. Ada yang baju melayu sepasang dan bersamping. Tapi itu biasa. Tapi kalau perempuan, baju kurung, jubah, kebaya, peplum, dan pelbagai fesyen yang ada, belum kira tudung lagi, Ariani, Fareeda, shawl, pashmina, ni kerongsang sana, keronsang sini. Lilit-lilit, pusing-pusing. Tapi itu agenda di hari raya. Di 10 Ramadhan terakhir, pusat membeli belah menjadi sesak, jualan murah semakin menjadi-jadi. Cik Kakak Abang yang biasanya ODOJ di siang hari, bertukar rutin kepada tawaf di jualan mega, MakCik PakCik yang biasanya berterawih di malam hari, bertukar rutin kepada membeli belah (membeli belah di siang hari memenatkan). Semua amalan yang efektif di awal Ramadhan belaka ditinggalkan dan disisihkan dek kerana mengejar harga durian runtuh. *sigh, geleng kepala.

4) Terawih.
Inilah senario yang biasa berlaku di masjid-masjid di negara kita. Masih ingat malam pertama Ramadhan, subhanAllah. Seperti yang saya pernah sebut di entri tahun lalu, saf-saf masjid menjadi penuh. Semuanya berusaha gigih untuk menunaikan solat sunat yang hanya akan dilakukan di bulan Ramadhan sahaja. 10 malam pertama masih melegakan, bilangan masih memuaskan, tempat parkir masih penuh, 10 malam kedua, situasi semakin mewas-waskan, tapi masih lagi tidak membimbangkan. Imam masih boleh wat lek wat pis. Bilal pula masih kelihatan tenang. Lalu kini, di 10 malam terakhir, boleh anda tunjukkan saya masjid yang masih penuh ketika solat sunat terawih? Mengikut pemerhatian saya, boleh jadi masjid semakin berkurangan disebabkan ahli jemaah yang pergi membeli belah jualan mega seperti nombor 3, dan ada juga yang sebenarnya tidak ada urusan apa-apa, sengaja duduk di tidak buat apa-apa. Oh, lupa ada satu masjid yang masih penuh, siap sesak lagi. Masjid India! *jatuh,

5) Mercun, bunga api.
Saya tidak tahulah, adakah suasana hari raya di negara lain sama seperti negara kita ataupun tidak, tapi yang saya pasti, dari tahun menuju tahun, mercun dan bunga api akan menjadi perhiasan wajib di kampung-kampung dan kawasan perumahan. Aneh juga, padahal telah dikuat kuasakan undang-undang, tapi masih ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab menjual bahan api yang sungguh merbahaya ini. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bermain bunga api dan mercun, dan saya rasa sepanjang hayat saya, saya tidak pernah sesekali membeli mercun dan bunga api. (mercun pop pop atau mercun bawang terkecuali). Baiklah, mungkin bunga api kecil tu saya masih boleh terima, tapi yang pelbagai jenis mercun tu, bahaya kot. Sudah banyak dilaporkan kes-kes meletup di tangan, terkena muka mata, dan pelbagai lagi kejadian yang sungguh memilukan. Ibu bapa main peranan dalam membendung perkara ini daripada berlaku. Saya merayu, sila kawal anak-anak anda, jangan dimanja dengan membelikan mereka mercun yang merbahaya itu. Kepada penjual, tolonglah, walaupun saya tahu tidak ada penjual mercun baca blog ni, tapi saya mohon, hentikan jualan haram. Dan terakhir kepada penguat kuasa, sila jalankan tugas anda, laksanakan undang-undang dengan sewajarnya. (bajet ramai je baca).

6) Lailatul Qadar 1.0.
Yang ini paling suka saya bercerita. Situasi lebih kurang macam ni.
10 Malam terakhir bermula : "Tahun ni, aku akan berusaha lebih gigih untuk bertemu dengan malam lailatul qadar. Aku akan qiam setiap malam. Kalau macam tu, barulah tak terlepas malam lailatul qadar."
Malam ke 22 : "Dah berapa malam aku tak terbangun. Malam lailatul qadar tak lepas lagi kan? Okey, aku akan berusaha! Kali ni mesti tak terlepas punya."
Malam ke 24 : "Herm, macam mana ni. Sejak 10 malam terakhir sampailah ke hari ni, aku tetap tak terbangun. Tapi, malam lailatul qadar ni malam ganjil kan? Hee, lepas ni aku bersiap malam-malam ganjil lah. Tadeklah penat sangat ork?"
Pagi 27 Ramadhan : "Wei, malam semalam lailatul qadar kan? Aku rasalah. Pagi tadi nampak nyaman je."
"Kau bangun tak?", "Tak pun. Hehe."
Selepas itu : "Erm, takpelah tadek rezeki tahun ni. Tahun depan aku cuba lagilah. In sha Allah kalau ada rezeki, dapatlah jumpa.". -_-'

7) Lailatul qadar 2.0.
Namum begitu masih ada golongan yang sentiasa istiqomah mempersiapkan diri untuk bertemu dengan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Persiapan? Jangan kata awal Ramadhan, selepas habis Ramadhan tahun lepas, mereka sudah bersedia. Sentiasa kekalkan momentum ibadah. Masuk je bulan Ramadhan, ruh untuk bertemu dengan lailatul qadar mula muncul, dari hari pertama bersiap sedia. Apatah lagi bila tiba 10 malam terakhir. Pecutan pun bermula. Tanpa memilih mana-mana malam, ganjil ke genap ke, setiap malam bersiap. Apabila mendengar khabar angin kononnya, lailatul qadar dah lepas, langsung tidak menggugat istiqomahnya ibadah mereka. Itulah mereka, golongan yang sentiasa mendambakan cinta daripada Pemilik Cinta. Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Biarlah Dia yang menilai semuanya.

Sekian 7 agenda konspirasi malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Yang baik, boleh dijadikan tauladan, yang kurang baik, yang buruk, hodoh, sila jadikan iktibar dan pengajaran agar kita tidak mengulanginya lagi di Ramadhan yang datang. Itupun, kalau Allah masih bagi pinjam nyawa ni, bagi pinjam nikmat islam iman ni. Apa-apa sebenarnya ada beberapa perkara di atas, yang sebenarnya saya suka untuk bersangka baik. Contohnya terawih tak ramai, mungkin boleh jadi berterawih di rumah di tengah malam. Yalah, Nabi Muhammad pun ada masanya berterawih sendiri di rumah, tapi yang solat fardhu tak berjemaah itu parak. (dan saya pun ada kadang-kadang terlepas. T.T). Apa-apa pun, semoga kita sentiasa muhasabah dan memperbaiki diri dan kelemahan. Baiklah, saya tutup entri kali ini dengan qoute daripada Mufti Ismail Menk.

"This month is going by so quickly. Don't miss out. Make use of the last few night to achieve the forgiveness of the Most Forgiving, Most Merciful.."-Mufti Ismail Menk.

[kredit]

p/s : Sebenarnya entri ni dah lama tulis, tapi tak habis sebab balik kampung dan berjauhan dengan internet. Moga bermanfaat ya.
p/s 2 : Betul ke lailatul qadar dah lepas? Herm, biarlah itu menjadi rahsia Allah taala. Jom terus istiqomah. :)
p/s 3 : In sha Allah akan memulakan projek terbaru dengan seorang sahabat.. Mohon doa semuanya.

Saturday, 5 July 2014

Ramadhan, Piala Dunia, Gaza, dan dot dot dot..

[kredit]
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari yang ketujuh umat islam di Malaysa dan di seantero dunia melaksanakan ibadah puasa. Ini adalah entri pertama yang ditulis sepanjang bermulanya Ramadhan. Bukan apa, tapi disebabkan kekangan masa dan beberapa masalah lain, entri mengalu-alukan Ramadhan pun tak sempat ditulis. Padahal, banyak idea nak menulis, tapi idea itu terus dikuburkan dan menjadi short term memory, makna kata hai hai bye bye lah kepada idea tersebut. Tapi sebenarnya tidaklah terlalu sibuk, tapi saya lebih mengutamakan urusan lain daripada menulis. Iyalah, tahun ini merupakan Ramadhan yang pertama saya berpuasa (hampir) sepenuhnya di rumah sejak beberapa tahun menjadi musafir jalanan. Jadi, astomsfera Ramadhhan saya kali ini agak berbeza dan keadaan melaksanakannya juga berbeza.

Biasanya, akan ada tadarus dengan kawan-kawan, ada tazkirah, ada usrah dan lain-lain. Tapi kali ini, tidak terlalu meriah berbanding sebelum ini. Tazkirah pun, kebanyakkannya secara alam maya. Tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menghidupkan Ramadhan, walaupun tidak ada kertas kerja Ihya' Ramadhan yang disediakan. Mungkin saya perlu pandang situasi ini dari sudut yang lain, iyalah sudah beberapa tahun tidak bersama keluarga, jadi mungkin inilah masanya untuk saya meluangkan masa bersama mereka. Apatah lagi In sha Allah (mohon doa semua), saya akan menyambung untuk peringkat ijazah beberapa bulan lagi, jadi sudah semestinya masa saya juga akan menjadi semakin terhad, dan mungkin juga waktu berpuasa tahun hadapan pun tidak dapat sepenuhnya bersama keluarga.

Maka tahun ini, seronok saya melihat perkembangan yang baik di masjid berhampiran dengan rumah saya. Alhamdulillah, hampir semua waktu solat ahli jemaah sekarang ni lebih dari satu saff. Semoga akan terus istiqomah dan berkekalan, supaya tidaklah pakcik bilal dan encik imam asyik berdating berdua sahaja. Tidak begitu? Selain itu pelbagai fadhilat yang boleh kita perolehi dalam bulan ini. Ganjaran yang sangat membeliak biji mata bagi pencari redha Ilahi. Sungguh! Bila lagi nak dapat kan, melainkan bulan ini. Dengan adanya terawih, berpuasa, bulan diturunkan al-Quran, diganda-gandakan ganjaran, dan paling hebat, ada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yakni malam lailatul qadar. Kau gila apa?! Bapak best. Ok, over the top, tapi biarlah nak melebih, kata nak syurga.?

Keseronokan bulan Ramadhan juga dihiasi dengan acara gilang gemilang dunia yang diadakan setiap 4 tahun sekali. FIFA World Cup. Saya rasa mungkin agak terlambat untuk saya membuka cerita mengenai ini, mana tidaknya sudah banyak pasukan pilihan yang sudah pulang ke kampung halaman untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta. Dengan pelbagai isu yang begitu hangat diperkatakan. Isu positif mengenai rambut Cristiano Ronaldo, penjaga goal Algeria yang katanya ingin memberikan bantuan kepada Gaza, dan Piala Dunia kali juga dihujani dengan kontroversi mengenai Mesut Ozil yang bertatu dan tidak berpuasa meskipun beliau merupakan Muslim dan kita masih berada di bulan Ramadhan. Ini kata kebanyakan merekalah. Selain itu juga, ada berita yang mengundang gelak tawa adik kecil mengenai Suarez yang rupanya mempunyai tabiat aneh dan keji ketika beraksi iaitu suka menggigit. Pelik dan agak lucu.

Dan ketika saya menulis ini, dua pasukan yang begitu popular iaitu Jerman dan Brazil berjaya ke peringkat seterusnya. Saya tidak pernah mengisytiharkan pasukan pilihan saya, tetapi saya ada jugalah mengikuti perkembangan sedikit. Sedikit sahaja, cukup minima. Dan antara pasukan yang saya target mampu menyinar sesi kali ini di awal liga adalah Argentina, Portugal, Jerman dan Brazil. Tapi sayangnya, Portugal tidak memberikan sinar bahagia walaupun Cristiano Ronaldo cukup popular di kalangan anak gadis dan makcik makcik. Sememangnya kepopularan itu tidak menyumbang kemenangan. Jadi, tinggallah Jerman dan Brazil yang masih bertahan meneruskan perjuangan dalam kejohanan kali ini. Tahniah diucapkan. Dan juga tak dilupakan Argentina yang akan betembung dengan Belgium untuk perlawanan suku akhir pada malam ini. Selamat maju jaya.

Namun begitu, langit cerah di bandar Pekan tidak menjamin cerah juga di bandar Banting. Apa maksudnya? Di Malaysia begitu tenang dan aman berpuasa tanpa gangguan meskipun ada isu akan disaman bagi mereka yang memberi sedekah kepada gelandangan, tetapi Malaysia masih aman, bersyukurlah. Pffftt. Di Brazil, begitu meriah sambutan Piala Dunia, sebenarnya di Brazil tidak semuanya meriah. Kerana dikhabarkan, dengan penganjuran acara itu, terdapat rakyat Brazil yang tertindas, almaklumlah, kita sudah tahu bagaimana kehidupan di Brazil. Ramai yang berada di paras miskin. Seolah-olahnya penganjuran piala tersebut satu bentuk kesombongan dan penindasan terang-terangan.

Dalam pada masa yang sama, di saat kita melaungkan 'GOAAALLL' siap terangkat kain pelikat, saudara seIslam kita nun jauh di sana, bumi Gaza, Palestin, terus dibedil oleh Zionis laknatullah. Kezaliman di sana terus berleluasa, tanpa belas kasihan lelaki dibunuh, wanita diseksa, dirogol, anak kecil kehilangan ibu ayah, isteri menjadi balu, negara terus di nodai. Allahu. Bagaimana agaknya Ramadhan mereka? Ketika kita terpukang bergolek selepas berbuka puasa, mereka berlari lintang pukang mengelak serangan. Ketika kita asyik makan sehingga terkadnag mengakibatkan pembaziran, mereka masih mencari apa yang perlu dimakan. Ketika anak kita bermain mercun sebelum, ketika dan selepas terawih, anak mereka berdepan dengan bom yang tidak henti diledakkan di bumi mereka tercinta. (saya tidak mampu menahan sebak ketika menulis bahagian ini). Di mana perikemanusiaan kita? Di mana hati perut kita? Di mana perasaan cinta kita?

[kredit]

Jadi apa agaknya kaitan tiga perkara di atas?

Ketika kita bergembira, jangan pernah lupa pada mereka. Jangan kita fikir hidup ini nafsi nafsi, nak nafsi nafsi sangat tunggu padang masyhar. Ketika itu pedulikanlah diri kita. Tapi di dunia pedulikanlah orang lain. Mereka memerlukan perhatian dan ambil tahu kita. tetapi adakah ini menunjukkan kita tidak perlu ambil tahu mengenai perkembangan semasa Piala Dunia. Adakah apabila kita mengikuti perkembangan Piala Dunia, itu tandanya kita tidak cakna kepada mereka di bumi Anbiya' sana? Tidak. Maafkan saya, saya cukup tidak berkenan dengan mereka yang terlalu provoke individu yang ber'piala dunia' dengan berkata,

"Ha, seronoklah piala dunia, orang Palestin apa cer?"
"Kau ni, sibuk berhibur piala dunia sakan, padahal orang Palestin dibedil setiap masa,"
"Dah dah lah piala dunia, fikirkanlah anak Palestin."

Masalahnya, ada ke mereka yang menyokong Brazil, German ni beritahu mereka tidak ambil tahu perkembangan dunia Palestin. Bagi saya terpulanglah nak tengok Piala Dunia ke, janganlah judgemental seolah-olah orang yang tengok piala dunia ni hanya fikirkan Neymar yang ditendang, boleh jadi mereka juga fikirkan anak kecil yang didepak terajang. Memberi peringatan untuk peka isu Palestin itu perlu, tapi bukan dengan penilaian tidak berasas. Teruskan beri peringatan, tapi saya takut, kita bersungguh-sungguh kata orang tengok Piala Dunia tak cakna, tapi kita masih berMekdey, masih berA&W, masih berstarbuck, masih bercoca-cola. Nampak di situ? Kenapa perlu di double standardkan?

Akhr kata daripada saya, teruskan momentum Ramadhan kita. Jangan pernah melupakan mereka di setiap doa kita. Apatah lagi, doa orang berpuasa adalah antara doa yang dimakbulkan. Jadi teruskan berdoa. Teruskan memboikot, walaupun usaha ini nampak kecil, tapi inilh kita mampu. Iyalah, untuk mengangkat senjata perang nanti dikatakan militan. Walaupun tidak dapat boikot semua, tetapi jangan tinggal semua. Nestle tu, Alhamdulillah, saat ini, produk yang dikatakan begitu memenuhi peti kita, suah saya berjaya boikot secara 99%. Tak susah nak boikot Nestle. Mekdey? Lama dah tinggal. Coca-cola? Dah lah tak sihat. Starbuck? tak pernah langsung. mahal kot. Produk Nestle banyak, tapi sebenanya banyak alternatif. Percayalah cakap saya. Apa-apa pun maafkan salah silap.

Selamat meneruskan ibadah puasa.
Selamat berjuang.
Selamat berdoa.

Semoga dipertemukan dengan malam lailatul qadar. Amin.

Dan selamat maju jaya buat Jerman dan Brazil. Hoho. (bukan lalang ok)


p/s : in khas buat sahabat-sahabat saya. HAha. Kalian mesti gelak membaca ulasan saya mengenai World Cup kan? Chill. Saya pernah cakap, saya memang tak minat, tapi tak bermakna tak ambil tahu langsung. You know, most of mad'u kita die hard fans bola sepak. So, nak approach mereka adalah dengan ambil tahu juga minat mereka. Tapi, maaf ya, saya tidak berminat nak obses dengan bola. Aman.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...