Monday, 4 August 2014

Memboikot Biar Berakhlak..

[kredit]

Disebabkan saya merasakan isu ini penting dan perlu untuk saya ketengahkan, saya tangguhkan dahulu untuk siapkan dan publishkan sambungan cerpen ini. Bukan apa, sebagai orang yang selalu bercerita mengenai isu boikot, bahkan saya sendiri pernah publishkan satu entri khusus untuk memberikan kefahaman (moga-moga fahamlah) mengenai usaha boikot ini. Bagi sesiappa yang belum membaca entri sebelum ini, boleh klik di sini dan fahamkan dahulu mengapa kita memboikot dan pelbagai isu yang timbul daripada usaha ini.

Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana entri sebelum ini mengenai boikot mendapat perhatian ramai. Selain itu juga, saya bersyukur kerana berdasarkan pemerhatian saya, boikot beberapa produk yang memberikan dana kepada Zionis sudah mendapat sokongan yang jitu daripada pelbagai pihak seperti persatuan pengguna, ngo-ngo khusus membantu Palestine, artis-artis, usahawan-usahawan, persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menegah Kebanggsaan Ayer Dalam, Pasti An-Nur, dan ramai lagi individu yang cukup gagah dalam memperjuangkan memboikot produk-produk seperti McDonald, Starbuck, Coca-Cola, Nestle dan lain-lain.

Jika kita ada baca ada laporan yang dikeluarkan beberapa akhbar dan buletin, menyatakan saham Coca-Cola dan McDonald menurun, itu menunjukkan usaha yang kecil ini sudah memberikan kesan kepada ekonomi dua produk yang besar itu. Jadi siapa cakap boikot tak efektif? Tambahan, sebenarnya, boikot ini bukanlah berlaku sehari dua, tetapi ada sesetengah negara sudah mula memboikot produk dari Israel beberapa tahun dahulu, dan saya sendiri sudah mula berjinak-jinak memboikot sejak 4 tahun dulu. Saya juga yakin di luar sana juga ramai sahabat-sahabat yang memang sudah lama tidak merasa McDonald, tidak menghirup kopi Starbuck, meneguk Coca-Cola. Jadi tidak peliklah, jika saham produk-produk itu merudum.

Namun begitu, seperti biasa di mana ada kebaikan, sudah pasti ada keburukannya. Apabila boikot ini mula menjadi trend semasa, maka muncullah individu-individu yang memboikot dalam keadaan emosi, membuta tuli, dan tidak berakhlak (maaf agak kasar.). Saya cakap berdasarkan pengamatan dan pemerhatian saya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram. Saya nampak jelas, nyata, ramai orang yang tidak berpada-pada dalam memberikan kesedaran untuk memboikot. Boikot itu baik, tapi bimbang dengan cara dan akhlak kita yang tidak beretika itu, membuatkan boikot menjadi fitnah kepada beberapa perkara. Saya sendiri sempat membaca respon beberapa individu mengenai perkara ini, dan saya juga terpanggil untuk merespon. Pelbagai situasi yang berlaku, dan membuatkan saya rasa mual pada usaha boikot. Tapi jangan risau, saya hanya mual kepada perlakuan itu, bukan pada boikot.

Tentu ada yang tertanya-tanya perlakuan yang bagaimana yang saya maksudkan. Baiklah, cuba anda gesek ke atas bawah telefon pitar anda, cuba cari mana-mana gambar yang menunjukkan beberapa orang sedang makan di McDonald, cuba anda baca komen-komen di bawah. "Tak boikot ke?", "Kalau makan McD tak tahu lah nak cakap apa", "Amboi, sedap bagi peluru kepada Zionis?", "Aku nampak darah anak Pelastine kat McChicken tu", "Geng Zionis, bangga Netanyahu dengan kau!", "Membantu nak ke neraka!", peh, tersedak jugalah dibuatnya apabila membaca komen-komen macam tu. Ganasnya peringatan kita, tambahan pula, siapa yang post gambar makan McD, minum Coca-Cola, memang teruk kena bash dan silap hari bulan kena troll kaw kaw dengan mana-mana page. Astaghfirullahal'azim.

Respon saya, boikot adalah hak masing-masing, kalau tak nak boikot, terpulanglah kepada orang tu, tapi siapa kita nak bersikap emosi macam tu? Adakah itu akhlak seorang Muslim yang sedang memeperjuangkan hak rakyat Palestine, silap hari bulan bila orang Palestine, tengok perangai kita macam ni, mereka yang minta maaf bagi pihak kita. Itulah antara emosi yang tidak berasa yang telah kita pamerkan untuk mengingatkan orang untuk memboikot. Mengajak orang memboikot tak salah, ajaklah, serulah, kumpullah seramai mana pun orang untuk boikot, sebab itu tujuan kita, tapi jangan guna cara yang salah. Mengejek, menghina, dan memburuk-burukkan bukanlah satu akhlak Islam. Namun begitu, mereka yang post gambar makan McD bagai tu, kena faham juga, sekarang ni makan di tempat yang diboikot merupakan satu perkara yang sensitif, jadi jangan dijolok sarang tebuan.

Selain itu, ada juga cadangan kononya, tidak mengapa tidak makan McD, tapi boleh pergi tandas McD, biar nanti McD terpaksa keluarkan kos untuk penyelenggaraan dan sebagainya. Ya Allah, sampai tahap macam tu sekali? Saya masih ingat suatu ketika dahulu, saya dan rakan sekolah ada pergi ke tepi pantai bersama junior-junior untuk sukaneka dan sebagainya, ada junior yang ingin menggunakan air paip di sebuah kedai makan sedangkan kedai itu masih tutup. Lalu, ada sahabat saya menegur tindakan itu, katanya, "Bukan ke air yang disediakan di kedai tu hanya untuk kegunaan pelanggan sebab bil air yang mereka bayar menggunakan keuntungan kedai, jadi kita yang tak membeli apa-apa, tapi nak guna, air tu bukan hak kita." Sentap, tapi ada benarnya. Begitu juga dengan tandas McD, saya yakin dan percaya kos penyelenggaraan tandas, sewa restoran termasuk dalam keuntungan jualan dan sudah pastinya tandas itu adalah kegunaan pelanggan sahaja. Kita yang tak membeli tidak ada hak untuk menggunakan tandas itu melainkan kita minta kebenaran dengan bos cawangan.

Tambahan, ada yang kononnya mencadangkan juga supaya beli makanan dari luar dan makan di dalam McD, kelakar sebab makanan dari luar tidak dibenarkanlah. Lagi satu, mereka bayar sewa, jadi hujah saya sama seperti menggunakan tandas. Premis mereka bukan hak kita juka kita bukan pelanggan. Saya ada melihat beberapa gambar demonstrasi di hadapan McDonald, tak, saya tak cakap salah. Bahkan saya sendiri jika berkesempatan, saya juga mahu turut serta. Tapi, seperti biasa, jaga akhlak kita. Jika sekadar kita berada di luar sambil menerangkan sebab dan rasional memboikot, tidak ada masalah, namun begitu, perlukah kita bila nampak orang masuk terus diperli-perli, dikutuk-kutuk tindakan mereka? Tak dilupakan juga, bukan ke kita akan mengganggu pelanggan yang lain dan sememangnya bukan akhlak sebagai muslim yang baik.
[kredit]
Saya ingin mengingat semua sekali termasuk diri saya sendiri, jaga akhlak kita. Jangan sampai menjadi fitnah kepada islam. Boikot ini juga masih ada baik da buruknya. Nak bagi kesedaran, boleh, tapi jangan sampai memburukkan orang lain yang sedang memboikot. Boikot adalah hak individu, tapi jangan pernah berhenti mengajak orang lain untuk memboikot daengan cara yang berhemah, beretika dan menggambarkan ciri sebagai Muslim.

Saya memilih untuk boikot!

p/s : Saya mendapat mesej di aplikasi Whatsapp mengenai ada kempen boikot McD secara total pada hari jumaat ini. Jom, ajak sahabat lain untuk boikot McD 100% untuk hari itu dan hari-hari mendatang.

Friday, 25 July 2014

Agenda Konspirasi.. Teng..Teng..Teng..

[kredit]
Alhamdulillah thummal hamdulillah. Setinggi kesyukuran kepada Allah ta'ala kerana pada hari ini, kita masih lagi diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan di muka bumi Allah serta masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. *ayat klise pengerusi majlis ceramah*. Begitulah kehidupan seharian kita, dalam sedar tak sedar, pejam celik, pejam celik, buka mata, hari ini sudah 27 Ramadhan. Masha Allah, begitu pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Dan dengan mata dan muka masih terpinga-pinga, kita bakal meninggalkan madrasah, universiti, kolej, kelas tutor yang mendidik kita meraih piala takwa ini.

Jika dalam permainan bola sepak, kita sudah pun masuk pada separuh masa kedua, dan dalam separuh masa kedua itu, masa berbaki 7 peratus daripada masa keseluruhan. (nota kaki : pandai-pandai andalah kira sendiri 7 peratus tu banyak mana). Waktu ini adalah waktu yang paling getir dan mendebarkan jiwa setiap pemain. Semua berusaha gigih untuk memastikan kemenangan diraih. Lebih-lebih lagi, apabila, separuh masa pertama, tidak ada gol yang diperolehi, bahkan gol pihak lawan lebih banyak seperti permainan Jerman dan Brazil di separuh akhir Piala Dunia. Wah! Saya yakin dan percaya, jika berlaku situasi ini dalam permainan bola sepak, ada 3 perkara sahaja yang berlegar dalam fikiran pemain, pertama, akan berusaha lebih gigih untuk menang, kedua, sudah putus asa, redha, pasrah, dan perasaan 'aku tunggu perlawanan akan datang jelah' pasti akan muncul serta terasa nak terkencing.

Begitulah juga kita dalam merebut piala takwa ini, di awalnya kesungguhan berkobar-kobar pom pam pom pam, di tengahnya mula lesu, dan kini di bahagian ketiga. Tambahan, dalam keseronokan kita berada di pesta ibadah ini, pelbagai isu tenggelam timbul muncul tanpa kita sedari. Isu Palestin yang semakin menjadi-jadi, kezaliman Rejim Zionis sudah tidak dikawal lagi, isu picisan CDM pun sibuk diperkatakan meskipun tidak ada kepentingan pun untuk dihebohkan, dan beberapa hari lalu, isu yang meruntun jiwa, meluluhkan perasaan, dalam keadaan MH370 masih tidak ditemui, MH17 pula menjadi bualan dunia. Allahu.

Maka, pelbagai konspirasi muncul, yang sohih tu tidak mengapa, tapi yang dibuat-buat itu yang menjadi masalah. Namun begitu, entri kali ini, bukanlah untuk menghuraikan mengenai konspirasi yang ditimbulkan daripada MH17, tapi agenda konspirasi 10 Ramadhan terakhir yang berlaku di kalangan masyarakat kita sejak sekian lama. Boleh jadi inilah yang menjadi darah daging kita dari generasi ke generasi. Mungkin ada positif dan negatif. Ada sisi baik dan buruk. Akan kita bersama-sama rungkaikan. Bersedia? Ayuh kita telusuri bersama!

1) Lagu Raya.
Malaysia memang dikenali dengan industri seni tanah air yang cukup hebat. Barisan artis tersohor negara bukan hanya popular di dalam negara, bahkan femes di seantero dunia. Sudah berkurun lama, lagu raya menjadi satu penyeri di Aidifitri dalam kalangan masyarakat kita, jadi, langsung tidak hairan untuk kita mendengar lagu raya didendangkan apabila Aidilfiti semakin menjelang tiba. Tetapi yang menjadi masalahnya, ada golongan yang lagu raya ni menjadi siulan semenjak 1 Ramadhan, itu masih boleh tahan, tapi yang menjadi kritikal apabila, lagu raya ini menjadi zikir wajib harian di waktu lapang dan waktu senang. Sampaikan nada jam loceng telefon bimbit menggunakan lagu Sesuci Lebaran, nada dering pemanggil (baca : caller ringtone) lagu Satu Hari Di Hari Raya, nada dering lagu Suasana Hari Raya. Lagu yang dimain di rumah? Herm, kalau tidak ada sekurang-kurangnya 4, 5 buah album kompilasi lagu raya memang tak sah! Silap hari bulan, lagu raya lagi banyak dialunkan berbanding alunan ayat suci al-Quran. *hashtag sentap.

2) Kuih Raya.
Ini bahagian yang menjadi kegilaan para ibu, makcik-makcik, akak-akak sekalian. Memang wajib, saya tekankan WAJIB untuk bersengkang mata untuk menyiapkan kuih raya. Tidak cukup dibuat sendiri, tempahan di instagram, jiran sebelah. Katanya, tak meriah jika hari raya tidak berkuih raya. Itu bukanlah masalah besar. Tapi yang agak pelik, apabila, kuih raya ni jadi juadah wajib harian. Sahur, tart nenas, berbuka cornflakes madu, moreh kuih batang buruk, makan lewat malam (baca : supper) kuih bahulu. Pendek kata, tak start takbir raya, kuih raya dah habis 3 balang. Wah. Itu masih lejen tahap basa-biasa, yang lagi epik, apabila bangun tidur jam 10 pagi, buka balang kuih sarang semut, ngap. Woi, puasalah! Pfffttt.

3) Baju Raya.
Ha, yang ini, kalau terasa hati, mohon maaflah ya dik. Tak berniat nak kasar-kasar. Kebiasaannya kes baju raya ni, banyak berlaku kepada perempuan, lelaki ada juga, tetapi kurang jika dibandingkan kedua jantina. Lelaki mudah, baju melayu, pakai kopiah/songkok, seluar slack/jeans. Siap. Ada yang baju melayu sepasang dan bersamping. Tapi itu biasa. Tapi kalau perempuan, baju kurung, jubah, kebaya, peplum, dan pelbagai fesyen yang ada, belum kira tudung lagi, Ariani, Fareeda, shawl, pashmina, ni kerongsang sana, keronsang sini. Lilit-lilit, pusing-pusing. Tapi itu agenda di hari raya. Di 10 Ramadhan terakhir, pusat membeli belah menjadi sesak, jualan murah semakin menjadi-jadi. Cik Kakak Abang yang biasanya ODOJ di siang hari, bertukar rutin kepada tawaf di jualan mega, MakCik PakCik yang biasanya berterawih di malam hari, bertukar rutin kepada membeli belah (membeli belah di siang hari memenatkan). Semua amalan yang efektif di awal Ramadhan belaka ditinggalkan dan disisihkan dek kerana mengejar harga durian runtuh. *sigh, geleng kepala.

4) Terawih.
Inilah senario yang biasa berlaku di masjid-masjid di negara kita. Masih ingat malam pertama Ramadhan, subhanAllah. Seperti yang saya pernah sebut di entri tahun lalu, saf-saf masjid menjadi penuh. Semuanya berusaha gigih untuk menunaikan solat sunat yang hanya akan dilakukan di bulan Ramadhan sahaja. 10 malam pertama masih melegakan, bilangan masih memuaskan, tempat parkir masih penuh, 10 malam kedua, situasi semakin mewas-waskan, tapi masih lagi tidak membimbangkan. Imam masih boleh wat lek wat pis. Bilal pula masih kelihatan tenang. Lalu kini, di 10 malam terakhir, boleh anda tunjukkan saya masjid yang masih penuh ketika solat sunat terawih? Mengikut pemerhatian saya, boleh jadi masjid semakin berkurangan disebabkan ahli jemaah yang pergi membeli belah jualan mega seperti nombor 3, dan ada juga yang sebenarnya tidak ada urusan apa-apa, sengaja duduk di tidak buat apa-apa. Oh, lupa ada satu masjid yang masih penuh, siap sesak lagi. Masjid India! *jatuh,

5) Mercun, bunga api.
Saya tidak tahulah, adakah suasana hari raya di negara lain sama seperti negara kita ataupun tidak, tapi yang saya pasti, dari tahun menuju tahun, mercun dan bunga api akan menjadi perhiasan wajib di kampung-kampung dan kawasan perumahan. Aneh juga, padahal telah dikuat kuasakan undang-undang, tapi masih ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab menjual bahan api yang sungguh merbahaya ini. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bermain bunga api dan mercun, dan saya rasa sepanjang hayat saya, saya tidak pernah sesekali membeli mercun dan bunga api. (mercun pop pop atau mercun bawang terkecuali). Baiklah, mungkin bunga api kecil tu saya masih boleh terima, tapi yang pelbagai jenis mercun tu, bahaya kot. Sudah banyak dilaporkan kes-kes meletup di tangan, terkena muka mata, dan pelbagai lagi kejadian yang sungguh memilukan. Ibu bapa main peranan dalam membendung perkara ini daripada berlaku. Saya merayu, sila kawal anak-anak anda, jangan dimanja dengan membelikan mereka mercun yang merbahaya itu. Kepada penjual, tolonglah, walaupun saya tahu tidak ada penjual mercun baca blog ni, tapi saya mohon, hentikan jualan haram. Dan terakhir kepada penguat kuasa, sila jalankan tugas anda, laksanakan undang-undang dengan sewajarnya. (bajet ramai je baca).

6) Lailatul Qadar 1.0.
Yang ini paling suka saya bercerita. Situasi lebih kurang macam ni.
10 Malam terakhir bermula : "Tahun ni, aku akan berusaha lebih gigih untuk bertemu dengan malam lailatul qadar. Aku akan qiam setiap malam. Kalau macam tu, barulah tak terlepas malam lailatul qadar."
Malam ke 22 : "Dah berapa malam aku tak terbangun. Malam lailatul qadar tak lepas lagi kan? Okey, aku akan berusaha! Kali ni mesti tak terlepas punya."
Malam ke 24 : "Herm, macam mana ni. Sejak 10 malam terakhir sampailah ke hari ni, aku tetap tak terbangun. Tapi, malam lailatul qadar ni malam ganjil kan? Hee, lepas ni aku bersiap malam-malam ganjil lah. Tadeklah penat sangat ork?"
Pagi 27 Ramadhan : "Wei, malam semalam lailatul qadar kan? Aku rasalah. Pagi tadi nampak nyaman je."
"Kau bangun tak?", "Tak pun. Hehe."
Selepas itu : "Erm, takpelah tadek rezeki tahun ni. Tahun depan aku cuba lagilah. In sha Allah kalau ada rezeki, dapatlah jumpa.". -_-'

7) Lailatul qadar 2.0.
Namum begitu masih ada golongan yang sentiasa istiqomah mempersiapkan diri untuk bertemu dengan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Persiapan? Jangan kata awal Ramadhan, selepas habis Ramadhan tahun lepas, mereka sudah bersedia. Sentiasa kekalkan momentum ibadah. Masuk je bulan Ramadhan, ruh untuk bertemu dengan lailatul qadar mula muncul, dari hari pertama bersiap sedia. Apatah lagi bila tiba 10 malam terakhir. Pecutan pun bermula. Tanpa memilih mana-mana malam, ganjil ke genap ke, setiap malam bersiap. Apabila mendengar khabar angin kononnya, lailatul qadar dah lepas, langsung tidak menggugat istiqomahnya ibadah mereka. Itulah mereka, golongan yang sentiasa mendambakan cinta daripada Pemilik Cinta. Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Biarlah Dia yang menilai semuanya.

Sekian 7 agenda konspirasi malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Yang baik, boleh dijadikan tauladan, yang kurang baik, yang buruk, hodoh, sila jadikan iktibar dan pengajaran agar kita tidak mengulanginya lagi di Ramadhan yang datang. Itupun, kalau Allah masih bagi pinjam nyawa ni, bagi pinjam nikmat islam iman ni. Apa-apa sebenarnya ada beberapa perkara di atas, yang sebenarnya saya suka untuk bersangka baik. Contohnya terawih tak ramai, mungkin boleh jadi berterawih di rumah di tengah malam. Yalah, Nabi Muhammad pun ada masanya berterawih sendiri di rumah, tapi yang solat fardhu tak berjemaah itu parak. (dan saya pun ada kadang-kadang terlepas. T.T). Apa-apa pun, semoga kita sentiasa muhasabah dan memperbaiki diri dan kelemahan. Baiklah, saya tutup entri kali ini dengan qoute daripada Mufti Ismail Menk.

"This month is going by so quickly. Don't miss out. Make use of the last few night to achieve the forgiveness of the Most Forgiving, Most Merciful.."-Mufti Ismail Menk.

[kredit]

p/s : Sebenarnya entri ni dah lama tulis, tapi tak habis sebab balik kampung dan berjauhan dengan internet. Moga bermanfaat ya.
p/s 2 : Betul ke lailatul qadar dah lepas? Herm, biarlah itu menjadi rahsia Allah taala. Jom terus istiqomah. :)
p/s 3 : In sha Allah akan memulakan projek terbaru dengan seorang sahabat.. Mohon doa semuanya.

Monday, 14 July 2014

Kalau tak Makan Mekdi, tak Boleh Eh?

[kredit]
Sejak kebelakangan ini, kesedaran rakyat malaysia khususnya dan masyarakat dunia mengenai isu yang berlaku di Palestin semakin menunjukkan perkembangan yang baik. Alhamdulillah. Mungkin, kezaliman yang dilakukan oleh Rejim Zionis terlalu melampaui batas kemanusia menyebabkan isu ini mendapat perhatian penduduk dunia tidak kira agama, bangsa dan warna kulit. Semua menunjukkan solidariti yang jitu bagi menyatakan sokongan kepada keganasan yang berlaku di bumi Anbiya' itu. Segala yang dicetuskan oleh Rejim Zionis laknatullah itu membutuhkan kita, khususnya umat Islam melakukan sesuatu bagi membantu penderitaan penduduk Palestin.

Justeru, pelbagai langkah yang diusahakan oleh penduduk dunia bagi membantu secara langsung ataupun tidak berkaitan isu ini. Tabung derma kilat telah dilancarkan oleh pelbagai NGO yang ada seperti Muslim Care, Aqsa Syarif, Aman Palestin, dan pelbagai lagi badan yang ditubuhkan bagi membantu rakyat Palestin. Wang yang disumbangkan akan disalurkan kepada rakyat Palestin bagi meringankan beban mereka, dari sudut keperluan makanan, tempat tinggal, perubatan, dan juga bagi membaik pulih ekonomi dan fasiliti yang telah hancur ranap akibat perlakuan jahanam Rejim Zionis!

Selain itu, usaha lain yang turut dilaksanakan adalah memboikot produk-produk yang secara terang-terangan menyumbang dan memberi dana kepada Israel. Pertamanya, kita perlu faham apa definisi sebenar boikot. Saya meminjam definisi yang telah digariskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka,
'Enggan berurus dengan (seseorang, organisasi, dll), biasanya untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institudi yang berkenaan menerima syarat tertentu.'
Baiklah, tujuan kita memboikot adalah untuk menyatakan rasa tidak bersetuju. Iya, itulah objektifnya. Kita tidak bersetuju dengan tindakan syarikat-syarikat tersebut menyumbang dana kepada pertubuhan dan badan yang memcetuskan kezaliman di Palestin. Tambahan, atau memaksa syarikat berkenaan menerima syarat tentu. Apa syarat untuk kita berhenti memboikot? Apabila syarikat tersebut berhenti memberikan sumbangan kepada Israel.

[kredit]
Namun begitu, masih ada suara-suara sumbang mambang yang menyatakan ketidak setujuan (ke laut Bahasa Melayu aku) kepada usaha murni ini. Jadi di sini, saya akan menyenaraikan beberapa izin laluan yang diberikan oleh sesetengah pihak berkaitan langkah memboikot produk ini. Disebabkan saya merupakan bekas pendebat yang latang berbicara *batuk kecil*, saya juga akan menyediakan balas hujah yang akan menjawab izin laluan mereka ini. Sudah bersedia? Ayuh, kita mulakan!

Izin Laluan 1 : Asyik-asyik nak boikot. Kalau kita je yang buat, orang lain tak buat tadek guna juga.

Respon : Keadaan yang berlaku mendesak kita untuk memboikot, jadi boikot. Isu 'kita je buat' sebenarnya tidak wujud sekiranya kita saling ingat mengingati antara satu sama lain untuk turut serta untuk meboikot. Paling penting, kenapa nak persoalkan usaha orang lain? Tanya dahulu pada diri sendiri, 'aku sudah boikot atau belum?'. Jika sudah, apa lagi, ajaklah orang sekeliling anda juga untuk memboikot, barulah tidak timbul isu 'aku je buat'.

Izin Laluan 2 : Produk Nestle ni banyak sangat dalam kehidupan seharian kita. Jangan syadid sangat boleh?

Respon : Memang banyak, saya akui, tapi jika kita perhatikan betul-betu,l banyak lagi produk yang lebih kurang sama dengan  produk Nestle yang berada di pasaran. Siapa yang beritahu anda yang Milo adalah satu-satunya minuman coklat yang ada? Sebenarnya alternatif kepada produk-produk Nestle yang ada dijual di luar sana, ada banyak, cuma anda perlu 'open your eyes widely' semasa berjalan di pasaraya Mydin. Ha, terlupa pula saya, bukankah kita ada Kedai Rakyat 1 Malaysia. Banyak sangat pilihan produk yang lebih kurang sama dengan produk Nestle, bahkan lebih murah dan merupakan produk buatan Malaysia. Ok? Cubalah sedikit-sedikit yang terdaya. Moga Allah permudahkan.

Izin Laluan 3 : Eleh, boikot Mekdi kunun, ni Facebook kau guna rancak kemain aku tengok. Facebook kan barang yahudi. Deletelah akaun Facebook, tak payah lah guna. Booo.

Respon : Jangan emo boleh? Baiklah, sebelum anda emo terlebih, saya nak tanya, ada ke penyataan bertulis ataupun fakta yang jelas yang menunjukkan Facebook benar-benar menyumbang kepada Israel/Rejim Zionis? Jikalau ada, apa salahnya menggunakan senjata makan tuan? Cuba anda lihat facebook telah dijadikan medium untuk menyebarkan berita mengenai kesedaran pembelaan kepada penduduk Palestin, walaupun Facebook menyumbang (kalau ada faktalah) kepada Israel, salah ke kita nak jadikan senjata makan tuan? Dan cuba anda fikir perbezaan antara memboikot Mekdi dan Facebook. Dengan Facebook, kita boleh menyumbang melalui penyebaran berita-berita terkini yang berlaku di Palestin, tetapi dengan Mekdi? Apa sumbangannya? Menggemukkan badan dengan makanan yang tidak sihat sahaja. Jadi, jelas?

Izin Laluan 4 : Habis tu, intel processor, laptop, telefon motorola semua tu dah nyata menyumbang kepada Israel. Yang ada kat rumah tu, nak buang ke?

Respon : Allah. Bak kata pensyarah kimia saya, "Use your brain." apa yang kita dah beli, sumbangan hanya disalurkan melalui wang yang digunakan ketika awal pembelian. Tujuan boikot adalah untuk mengelakkan masyarakat membeli pada masa yang akan datang. Apa yang sudah lepas, dan sudah terbeli, tidak mengapa. yang penting anda tidak mengulanginya lagi. Saya berikan analogi, anda membeli Mekdi pada jam 8 pagi, anda mula makan dengan lazat nyum nyum MekChicken dan MekFluffy hanya dalam tempoh 15 minit. Kemudian, pada jam 9 malam, anda mula terbaca di Facebook mengenai saranan memboikot produk tersebut. Saya mahu bertanya kepada anda, adakah anda perlu memuntahkan kembali MekChicken yang sedang mengalami proses penghadaman itu?

[kredit]
Izin Laluan 5 : Eleh, typical Malaysia, boikot bermusim, time ni je boikot, nanti lupa lah. Pigidah!

Respon : Sekurang-kurangnya mereka ada kesedaran. Terpulanglah bermusim kemarau ke, bermusim durian ke, asalkan ada lakukan sesuatu untuk menyatakan sokongan. Bermusim ataupun tidak, lantaklah. Daripada hanya tahu merungut, mencela, dan merendahkan usaha yang ingin memboikot. Tambahan, ini bulan ramadhan, daripada anda sibuk-sibuk kata orang boikot bermusim, cuba tanya diri sendiri, "Apa yang sudah aku lakukan untuk Palestin."

Izin Laluan 6 : Apa ni boikot-boikot? Kesian anak melayu yang bekerja di Mekdi, Starbuck. Anda tahu boikot je, ada anda tolong bagi pekerja-pekerja tu makan.?

Respon : Adakah itu pekerjaan yang ada di atas muka bumi bertuah Malaysia. Bukankah, Malaysia masih aman, bersyukurlah. Pffftt. Memang kesian kepada anak-anak melayu yang bekerja, tetapi lagi kesian kepada anak Palestin yang kehilangan ibu bapa, sisteri yang kehilangan suami. Kesiannya mereka bukan hanya pada tidk cukup kewangan untuk makan, bahkan kesiannya kepada mereka melihat kepada angka kematian yang semakin bertambah. Jangan kita berkata mengenai kesian, jika kita tidak tahu erti kesian yang lagi teruk mereka alami di sana. *Nangis*.

Izin laluan 7 : Berhasil ke boikot ni?

Respon : Anda lupa cerita burung kecil yang cuba memadamkan api yang sedang membakar tubuh kekasih Allah, Ibrahim? Baiklah, saya ulangi. Ketika Nabi Ibrahim dibakar oleh api dibawah arahan Raja Namrud, ada seekor burung kecil memasukkan air ke dalam paruh kecilnya, dan berulang-alik membawa air untuk memadamkan api yang membakar tubuh Ibrahim.Tiba-tiba ada suara sumbang yang macam anda ni, melekehkan usaha burung kecil itu, "Eleh, kau ingat dengan air tu, api boleh terpadam ke? PAruh kau tu kecil je." Lebih kurang macam tulah ayatnya. Anda tahu apa yang dibalas oleh burung kecil itu? Bersedia dengan baldi dan tisu cap Premier? "Aku tahu di akhirat kelak, Allah tidak akan bertanya adakah usahaku dapat memadamkan api, tapi aku yakin Allah akan bertanya padaku, apa yang telah aku lakukan untuk memadamkan api tersebut." Samalah juga, kita kena yakin, Allah takkan tanya kita adakah usaha memboikot ini membuahkan hasil, tapi takut nanti kita terkontang-kanting mencari jawapan bila ditanya Allah, apa yang kita telah lakukan untuk membantu saudara kita di sana. *Menangis teresak-esak*.

Izin laluan 8 : Kenapa mesti Mekdi, Starbuck, Coca-Cola?? Saya minat sangat-sangat. Feveret saya tu. *Mood sinetron jam 2 petang*.

Respon : Sebenarnya tak ralat sangat boikot 3 produk tu. Tahu kenapa? Mekdi memang umum maklum merupakan makanan segera yang tidak sihat dan tidak elok untuk badan. Bahkan, ada kenyataan yang menyatakan burger Mekdi mempunyai bahan kimia yang tidak dibenarkan dan menggunakan daging yang mempunyai tahap kualiti yang rendah. Starbuck? Hek eleh, mahal gila makanan dan minuman di sana. Kenapa nak makan dan minum yang mahal, sedangkan kita ada pilihan yang lebih murah. Coolblog mungkin? Haha. Dan, Coca-Cola? Kandungan gula yang sangat tinggi di dalam minuman yang menjadi penaja rasmi Piala Dunia itu menyebabkan Coca-Cola tidak wajar diminum meskipun kita tidak menjalankan usaha memboikot. Pendek kata, langsung tidak ada kerugian pun jika kita memboikot 3 produk tersebut. Cuma tinggal sekarang ni NESTLE, saya sudah pun menjawab di atas. Tambahan, kita kena ingat, kita boikot sekiranya mereka menyumbang kepada Israel, dah desakan-desakan kita ini adalah untuk membuatkan mereka berhenti menyumbang lagi. Jadi, bila mereka sudah tidak memberi dana lagi, ha, anda nak makan sampai muntah, makanlah.

Izin laluan 9 : Ni produk yahudi ni, produk Amerika ni. Kenapa tak boikot?

Respon : Sama seperti yang saya sudah katakan mengenai Facebook. Kita boikot bukan kerana produk tersebut produk yahudi, produk Amerika semata. Tapi, kerana produk tersebut menyumbang kepada Israel. Jika ada produk orang melayu Islam sekalipun tetapi produk tersebut memberi dana kepada Israel, nak tak nak kita kena boikot. Sungguh, kita bukanlah jahat sangat nak boikot semua produk yahudi. Saya tekankan sekali lagi. Boikot hanya kepada produk yang terang-terangan menyumbang kepada Israel. Dan produk yang memang jelas nyata menyumbang adalah, Nestle, McDonald, Starbuck, dan Coca-Cola.

[kredit]
Saya kira cukuplah sampai di sini dahulu izin laluan yang diberikan oleh sesetengah pihak mengenai isu boikot. Setakat ini, itulah antara common question yang diajukan. In sha Allah, sekiranya saya menjumpai soalan-soalan lain, saya akan update entri ini untuk kita sama-sama dapat merungkaikan segala permasalah yang timbul daripada usaha memboikot ni. Saya suka ulangi status Facebook saya baru-baru ini, "Perihal boikot. kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Dan kalau tidak mahu boikot, jangan halang, hina, merendahkan orang yang berusaha nak boikot." Betul, kalau anda tidak mahu boikot, tidak mengapa, diam-diam sudah. Tapi jangan halang kami. Semoga usaha kecil ini dipandang Allah dan mampu menjadi saham akhirat kita. In sha Allah.

p/s : Teruskan berdoa kepada Palestin. Wajibkan diri menghafal qunut nazilah. Selain itu, jangan lupa menghulurkan sumbangan kewangan. Pelbagai medium yang boleh kita gunakan untuk memberikan sumbangan.
p/s 2 : Alhamdulillah, kita sudah sampai ke 17 Ramadhan. Salam Nuzul Quran. Teruskan istiqomah dalam beribadah. Semoga kita sampai dan dipertemukan dengan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan; Malam Lailatul Qadar. In sha Allah, amin.
p/s 3 : Baru balik berjaulah dan ziarah ke Selangor. Alhamdulillah, seronok dapat berjumpah ikhwah tercinta. Walaupun pertemuan hanya sekejap, kemanisan tetap terasa. Sejujurnya saya sedang merindui anda semua. Ya, andalah. *senyum mengalir air mata*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...